Imej hiasan |
Namun, sejak akhir-akhir ini isu berkaitan persaraan guru senior berlaku secara mendadak menunjukkan profesion ini sedikit merudum.
Apa yang menimbulkan persoalan, sejauh mana guru kini dihargai sebagai satu kerjaya profesional dan menjadi tunjang kepada pembentukan generasi madani seperti mana diharapkan negara.
Profesion perguruan satu ketika dahulu dipandang sepi kerana kerjaya agak statik dengan tingkat gaji kurang menarik berbanding kerjaya lain lebih menjanjikan gaji lumayan.
Persekitaran kerjaya agak terhad dan rutin kerja berulang menjadikan kerjaya ini kurang diminati lepasan universiti. Oleh itu, kerajaan melakukan pembangunan kerjaya dan penambahbaikan bagi menjadikan kerjaya guru lebih menarik dengan persekitaran memberi ruang untuk peningkatan kualiti guru.
Kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini dilihat sangat positif dalam memartabatkan semula profesionalisme guru dengan membabitkan mereka dalam Pembangunan Kurikulum dan Pentaksiran dalam Pendidikan.
Menurut Fadhlina, guru akan diberikan lebih kebebasan dalam pembentukan kurikulum baharu sekolah akan diperkenalkan pada 2027.
Sejauh mana aspirasi ini benar ia masih menjadi pertanyaan kepada guru kerana selama ini mereka tidak diperlukan dalam memberi pandangan dalam mana-mana pembinaan kurikulum dan pentaksiran pendidikan. Mereka hanya menerima kurikulum baharu dan bentuk pentaksiran untuk dilaksanakan di sekolah.
Dalam hal ini, kepakaran guru berkhidmat di sekolah puluhan tahun seharusnya diambil kira kerana mereka bukan sahaja pelaksana, malah orang berada di persekitaran bagi melaksanakan misi dan visi kerajaan.
Pengetahuan dan kemahiran mereka tidak perlu lagi dipertikaikan kerana mereka orang layak memberi pendapat dan pandangan dalam membentuk kurikulum serta dan pentaksiran selepas diri puluhan tahun dalam persekitaran pendidikan.
Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) amat memerlukan pandangan guru dalam merangka penilaian jitu kerana mereka sangat dekat dengan murid dan bentuk pentaksiran berkesan perlu dilaksanakan bagi mengukur kualiti murid daripada pelbagai sudut.
Selama ini mereka hanya menerima tanpa membantah, walaupun hakikatnya pentaksiran dibuat tidak mengukur kualiti murid secara menyeluruh.
Guru di sekolah tidak diajak berbincang mengenai Pembangunan Kurikulum dan Pentaksiran dalam Pendidikan kerana Kementerian Pendidikan (KPM) seolah-olah menafikan kualiti kepakaran guru senior dalam memberi impak kepada pembangunan pendidikan.
Kepakaran setanding pensyarah
Hakikatnya, kepakaran guru di sekolah setanding dengan kepakaran pensyarah universiti atau pegawai atasan lebih melihat kepada tingkat jawatan, tetapi tidak melihat kepada persekitaran pelaksanaan.
Ilmu yang ada pada guru mempraktikkan pentaksiran dan pengetahuan kurikulum seharusnya dimartabatkan kerana mereka berada dalam situasi mendidik dan lebih tahu situasi semasa dan keperluan pentaksiran dalam kurikulum.
Pembabitan guru dalam pembentukan kurikulum dan pentaksiran sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu.
Justeru, kenyataan Menteri Pendidikan menyedarkan semua pihak, terutama penggubal dasar mengenai keperluan guru dilibatkan sama dalam agenda pendidikan terutama berkaitan pembangunan kurikulum dan pentaksiran.
Ini penting kerana guru adalah sebahagian daripada pendidikan itu sendiri dan mahu atau tidak, profesionalisme perguruan harus diberikan perhatian dalam sama-sama membangunkan pendidikan sejajar dengan keperluan masyarakat dan negara.
Ini bertepatan dengan tema hari guru dicanang setiap tahun dalam membangunkan profesionalisme guru, sekali gus meletakkan kerjaya guru setanding dengan kerjaya profesional lain dipandang tinggi.
Sekiranya KPM benar-benar Ikhlas dengan kenyataan yang dikeluarkan, maka pastinya guru di Malaysia amat berbesar hati menabur bakti, sekali gus menjadikan kerjaya mereka sebahagian daripada keperluan dalam membina masa depan negara.
Apa pun yang akan berlaku dalam pendidikan selepas ini, guru harus diberikan ruang untuk bersama-sama membabitkan supaya kerjaya mereka terus berkembang dan menjadi nadi kepada pembangunan insan dan negara.
Dr Abd Razak Zakaria adalah Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC)