Garis panduan DLP terpakai untuk semua sekolah kerajaan – Fadhlina


 

NIBONG TEBAL: Garis Panduan Program Dwibahasa (DLP) terpakai untuk semua sekolah kerajaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah kerajaan perlu mempunyai satu kelas mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu, seiring dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Beliau sekali gus menafikan dakwaan bahawa terdapat sekolah yang tidak perlu mematuhi Garis Panduan DLP.

“(Dakwaan itu) tidak betul. Semua (sekolah) kita sudah minta untuk pakai dan rujuk garis panduan. Tidak ada masalah setakat ini.

“Bagi sekolah yang ada masalah dengan pelaksanaan, kita akan turun dan bantu mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Sekolah Pengajar dan MBMMBI di sini hari ini.

Mengenai Program Sekolah Pengajar dan MBMMBI, Fadhlina berkata ia satu daripada usaha bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Beliau berkata program itu yang dibangunkan bersama institut latihan perguruan, menyaksikan pakar dari institut itu dihantar ke sekolah terpilih untuk menambah baik kaedah pengajaran dalam bahasa berkenaan.

Program berkenaan, katanya dilaksanakan melalui Sekolah Pengajar Institut Pendidikan Guru seluruh Malaysia dan antara aktiviti ialah bacaan kritis, cakna bahasa, program pembudayaan membaca dan aktiviti kebahasaan.

Fadhlina turut menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pengambilan sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura yang akan ditempatkan di kawasan miskin bandar, desa dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Lantikan ini tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan seperti telahan sesetengah pihak, sebaliknya ia adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia dan Singapura.

“Khidmat guru sukarelawan ini akan dibayar oleh kerajaan Singapura dan inisiatif ini memberi peluang kepada murid, guru dan pihak sekolah untuk mendapat pendedahan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan inovasi yang baik,” katanya.

Beliau berkata inisiatif seumpama itu sememangnya sentiasa dilaksanakan KPM dengan melibatkan pertukaran guru dari negara maju seperti Korea Selatan, Australia dan Amerika Syarikat.- BERNAMA
Previous Post Next Post