DLP: Saranan PAGE hapus GPMP Bahasa Melayu di sanggah iGuru

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru), Azizee Hasan


PETALING JAYA: Persatuan guru menyanggah saranan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) supaya gred purata mata pelajaran (GPMP) bahasa Melayu dihapuskan di semua sekolah, dengan mendakwa tindakan itu hanya akan menyebabkan penguasaan bahasa ibunda pelajar semakin lemah.

FMT sebelum ini melaporkan Pengerusi PAGE, Noor Azimah Abdul Rahim, berkata gesaan itu bagi membolehkan program dwibahasa (DLP) dilaksanakan di semua sekolah kebangsaan.

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru), Azizee Hasan, berkata cadangan menghapuskan GPMP dilihat tidak akan menyelesaikan isu berbangkit, sebaliknya mencetuskan masalah lain iaitu terpinggirnya bahasa kebangsaan dalam kalangan murid sekolah jenis kebangsaan (SJK).

“Langkah menetapkan syarat gred purata BM bukan menghalang pelaksanaan DLP tetapi untuk memastikan usaha memartabatkan bahasa Melayu didaulatkan dalam kurikulum pendidikan negara.

“⁠Syarat yang ditetapkan itu adalah munasabah dan bersesuaian, malah sekolah perlu memastikan isu penguasaan bahasa Melayu dan bahasa ibunda dikuasai dengan sebaiknya pada masa sama ditingkatkan bahasa Inggeris,” katanya kepada FMT.

Azimah turut merujuk keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 baru-baru ini yang mendedahkan 9,306 pelajar gagal subjek bahasa Melayu manakala lebih 40,000 gagal bahasa Inggeris.

Katanya, ketika ini hanya 10% daripada sekolah rendah di Sabah dan Semenanjung menawarkan DLP dan kebanyakan yang menawarkannya, hanya satu kelas diperuntukkan bagi program itu.

Mengikut amalan sejak 2016, sekolah dibenarkan memilih melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, arahan baharu KPM meminta sekolah memastikan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda sebagai pengantar dan mereka perlu menunjukkan prestasi bahasa Melayu yang memenuhi piawaian purata kebangsaan.

Berdasarkan pekeliling dikeluarkan KPM mengenai pelaksanaan DLP awal tahun ini, murid Tahun 6 sekolah rendah dan SJK perlu mencapai 70% penguasaan TP3 untuk bahasa Melayu atau bahasa ibunda dalam pentaksiran bilik darjah (PBD) dan gred D dalam ujian akhir tahun.

Manakala sekolah menengah pula perlu mencapai GPMP bahasa Melayu SPM sekolah bagi tahun sebelumnya pada tahap sama atau lebih baik daripada pencapaian GPMP bahasa Melayu kebangsaan atau menunjukkan peningkatan prestasi pencapaian mata pelajaran itu bagi tiga tahun berturut-turut.

Mengulas lanjut, Azizee berkata penguasaan subjek sains dan matematik tidak hanya terikat dengan penguasaan baik bahasa Inggeris, sebaliknya boleh dikuasai dengan bahasa lain termasuk bahasa Melayu.

“Semua pihak perlu faham tujuan DLP dilaksanakan untuk pengajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris, ia bukan program peningkatan bahasa Inggeris semata-mata.

“Jadi untuk menguasai bahasa Inggeris ia ada banyak cara dan kaedahnya,” katanya.

Artikel Asal: Free Malaysia Today 

Previous Post Next Post