Perdana Menteri berkata, cadangan itu ibarat skim bantuan daripada segi diplomasi antara negara dan bukan bermaksud Malaysia mahu melantik guru bahasa Inggeris dari republik berkenaan.
"Dengarlah dulu, kadang-kadang jadi pakar tiga minit kemudian terus lontar di media sosial dan faktanya salah. Apa yang salah? Salahnya ialah kononnya kita sekarang akan melantik guru bahasa Inggeris dari Singapura...itu salah.
"Yang saya bicarakan dengan Perdana Menteri Singapura (Lawrence Wong) ialah mengadakan skim bantuan atau melantik seorang sukarelawan yang dibayar oleh pemerintah Singapura untuk pergi ke kawasan terutama miskin bandar, desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mengajar bahasa Inggeris," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar berkata, apa yang diusahakannya adalah supaya Malaysia dapat menjalin hubungan lebih baik antara negara serantau sama ada Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.
Mengulas lanjut, katanya, dalam pertemuan bersama rakan sejawat dari Singapura itu, beliau turut membincangkan mengenai zon ekonomi Johor, pelaburan dan perdagangan.
"Jadi orang ingat ada siswazah atau graduan dari Singapura datang dalam skim sukarelawan dari Singapura untuk mengajar bahasa Inggeris..itu sahaja.
"Ini terus dia (pengkritik) kata tak hormat kaum sendiri, cuba bawa komunis dari Singapura," katanya.
Dalam lawatan rasmi Perdana Menteri Singapura ke Malaysia baru-baru ini, Malaysia berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar tenaga pengajar untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat di seluruh negara.
Anwar dilaporkan berkata, perkara itu disentuhnya dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Lawrence Wong di Kompleks Seri Perdana di sini.