Bawa guru Singapura tidak selesai masalah sistem pendidikan negara - Penganalisis Pendidikan



PETALING JAYA: Kerajaan digesa memperbaiki sistem pendidikan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menerima guru bahasa Inggeris dari Singapura, kata seorang penganalisis pendidikan.

Othman Talib berkata bagi tujuan itu pihak berkaitan boleh ke republik terbabit untuk melihat sendiri pelaksanaan dasar Teacher Ownership and Teacher Leadership (TOTL) dan Teach Less, Learn More (TLLM) yang membuahkan hasil.

“Di Malaysia, kita skeptikal dengan perkataan ‘kurang’ sebab semua benda kita nak ‘lebih’ dari segi kandungan (silibus), topik, perkataan, slogan dan murid (dalam satu kelas).

“Jadi tak perlu bawa cikgu dari Singapura dan betulkan dulu sistem sendiri…takkan selesai masalah dengan bawa orang luar,” kata penyelidik pendidikan di UCSI University itu kepada FMT.

Othman sebelum ini konsisten menegur Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melihat kembali silibus padat di tahap sekolah rendah yang padanya seakan-akan ‘membunuh’ minat murid untuk belajar.

Beliau juga sering menjadikan silibus negara maju seperti Singapura, Jepun, Finland dan banyak lagi sebagai rujukan – yang dakwanya lebih berasaskan keupayaan murid mengikut usia dan memupuk minat murid.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar guru-guru untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat.

Pengumuman itu mencetuskan polemik pelbagai pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang berharap kerajaan tidak meneruskan hasrat itu.

Mengulas lanjut, Othman berkata bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, KPM mungkin boleh mengurangkan penggunaan buku teks sebaliknya menambah jumlah aktiviti.

“Sepatutnya di awal persekolahan utamakan komunikasi mudah dalam Bahasa Inggeris, letak tepi buku teks dan banyakkan aktiviti berkomunikasi.

“Bila sudah boleh bercakap dalam bahasa Inggeris walaupun tunggang langgang, ia beri semangat nak teruskan (belajar Bahasa Inggeris),” katanya.

 

Previous Post Next Post