Keadaan di lokasi kemalangan melibatkan bas dan treler di Lebuhraya Tun Abdul Razak, Muadzam Shah pada awal pagi Ahad. |
KUANTAN - Dua termasuk seorang wanita maut selepas bas ekspres membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Lebuhraya Tun Abdul Razak berhampiran simpang tiga Keratong, Muadzam Shah pada awal pagi Ahad.
Bas membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu yang dipercayai dalam perjalanan ke Terengganu itu turut dilaporkan terbabas dan terjunam ke bawah cerun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 12.31 pagi.
Menurutnya, susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah ke lokasi dan tiba jam 12.56 pagi.
"Operasi menyelamat turut dibantu anggota dari BBP Chini, BP Segamat,BBP Jalan Abdullah, Segamat dan BBP Jempol selain polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
"Anggota terlibat membantu mengeluarkan mangsa dalam bas yang terjunan ke bawah cerun," katanya.
Ismail berkata, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
"Pemandu treler dilaporkan selamat," katanya.