Umum Hari Gawai, Pesta Keamatan sebagai cuti umum seluruh negara - GPS

Abang Johari menjawab pertanyaan pada Sesi Townhall di Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini. - Gambar Pejabat Premier Sarawak


KUCHING: Pengisytiharan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan sebagai cuti umum di seluruh negara hanya boleh diputuskan oleh kerajaan persekutuan, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 


“Semua kita termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu Hari Gawai diisytihar sebagai cuti umum di seluruh negara. 

“Ia terpulang kepada Kuala Lumpur, sama ada dapat menerima permintaan kita atau tidak. 

“Tetapi setidak-tidaknya mereka mengakui ‘Segulai Sejalai.’ Saya dengar Perdana Menteri kita apabila memulakan ucapan turut menyebut ‘Segulai Sejalai’,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada salah seorang peserta Sesi Townhall anjuran Persatuan Mahasiswa Sarawak di Auditorium Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, hari ini. 

Ujar Abang Johari lagi, apa yang boleh dibuat ialah berdoa agar Hari Gawai dan Pesta Kaamatan diiktiraf sebagai cuti umum di seluruh negara. 

Hari Gawai pada 1 Jun diiktiraf sebagai cuti umum di Sarawak, manakala Pesta Keamatan diraikan pada 30 Mei di Sabah. 

Terdahulu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sarawak baru-baru ini menggesa kerajaan persekutuan untuk mengisytiharkan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan sebagai cuti umum di seluruh negara. 

Gesaan tersebut dibuat oleh Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS), Persatuan Terabai Menua (TM) dan Persatuan Masyarakat Salako dan Rara Sarawak (PERASA). 

Dalam gesaannya, Gagasan NGO terdiri daripada tiga persatuan itu berkata seiring dengan konsep Malaysia MADANI, maka sudah tiba masanya kerajaan persekutuan mengiktiraf Hari Gawai dan Pesta Kaamatan sebagai cuti umum negara.
Previous Post Next Post