Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (dua, kanan) melakukan tinjauan pengoperasian menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sempena lawatan kerja beliau ke Sabah hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (kanan). - Foto Bernama |
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pakej khas melalui pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) itu akan menawarkan internet berkelajuan tinggi yang lebih stabil dengan harga lebih murah berbanding talian mudah alih.
"Perinciannya akan diumumkan (nanti), tetapi mulai 1 Julai sekolah di bawah KPM, ada 10,000 sekolah, akan dapat memilih pakej internet lebih laju, lebih murah.
"Kerajaan berharap infrastruktur telekomunikasi yang disediakan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat khususnya di Sabah untuk meningkatkan taraf hidup, melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran, serta menerokai gaya hidup baharu yang lebih berkualiti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tinjauan PoP di Menara Balimbang, Sekolah Kebangsaan Balimbang, Pulau Bum Bum, di sini hari ini. - Bernama.