Sarawak tuntut penurunan kuasa, bukan autonomi penuh pendidikan


PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menuntut penurunan kuasa dan desentralisasi pendidikan, bukannya untuk mendapat autonomi penuh, kerana ia adalah kuasa Kerajaan Persekutuan. 

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penurunan kuasa dan desentralisasi adalah istilah yang tepat untuk menggambarkan usaha semasa negeri ini dengan sektor pendidikan. 

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan Sarawak mungkin mengkaji semula tuntutan autonomi pendidikan apabila keperluan itu timbul pada masa hadapan. 

“Ahli (Adun) Batu Kitang, Kota Sentosa dan Bawang Assan menyebut tentang MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), berhubung dengan autonomi pendidikan. 

“Sekali lagi, izinkan saya mengulangi bahawa istilah yang betul ialah penurunan kuasa dan desentralisasi kerana ia mempunyai kesan undang-undang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. 

Roland Sagah menjelaskan beberapa perkara telah dipersetujui antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan (KPM). 

Ini, antara lain, termasuk pemberian kuasa kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) untuk meluluskan projek pembangunan sekolah dan program pendidikan yang dibiayai kerajaan Sarawak . 

Selain itu, perkongsian maklumat dan data, dan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik, Biologi, Kimia, Fizik, dan Matematik Tambahan di peringkat sekolah menengah juga antara perkara dipersetujui antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, katanya. 

Oleh SHAHRUL QAIZAT
Foto HARRIEY NAHA

 

Previous Post Next Post