KUCHING: Dasar pendidikan tinggi percuma yang ditawarkan Sarawak menjelang 2026 akan memberi fokus kepada kursus yang akan memenuhi keperluan pasaran kerja di negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee (gambar) berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan graduan anak Sarawak mempunyai kadar kebolehpasaran yang tinggi.”Pada masa ini kita masih mengkaji kursus-kursus yang akan diberikan secara percuma sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 2026 kelak.
”Apa yang pasti ialah penentuan kursus-kursus ini berdasarkan kepada keperluan tenaga kerja Sarawak bagi melihat mana kursus yang amat diperlukan dan ia akan diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Jom Masuk U Zon Sarawak di sini, hari ini.
Menjelas lanjut Annuar berkata dasar pendidikan tinggi percuma itu akan disediakan berdasarkan keperluan keutamaan tenaga kerja Sarawak.
Katanya, kajian mengenai kursus itu penting memandangkan tidak semua bidang ijazah sarjana muda akan menjamin pekerjaan kepada para graduan.
”Sekiranya kita membuka dasar kepada setiap kursus di universiti, mungkin ada kursus tertentu yang mungkin tidak mempunyai kadar kebolehpasaran yang tinggi atau menjamin pekerjaan.
”Ia kemudian akan menambah lagi beban di kemudian hari. Justeru, kita akan melaksanakan kajian itu secepat mungkin,” tambahnya.
Terdahulu, ketika berucap mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, beliau berkata inisiatif pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak melibatkan beberapa universiti milik kerajaan negeri seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin, Universiti Swinburne, Kolej Universiti i-CATS, dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Oleh RYNNA SHA’ERRA