Peratusan enrolmen pelajar STEM di Johor meningkat

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, menjawab soalan dalam persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke 15 di sini, hari ini. - Foto IHSAN EXCO Pendidikan dan Penerangan Johor


ISKANDAR PUTERI: Peratusan enrolmen pelajar Tingkatan Empat yang menyertai aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Johor meningkat sehingga 50.24 peratus, setakat Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, berkata peratusan enrolmen pelajar STEM Tingkatan 4 Johor mula menunjukkan peningkatan pada tahun lalu iaitu 45.73 peratus berbanding 40.94 peratus pada 2022.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan bahawa program berkaitan pendidikan STEM yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Negeri menunjukkan hasil yang positif dan menggalakkan.

"Dijangkakan pelaksanaan STEM sebanyak 60 peratus di negeri Johor akan dicapai pada 2028, Insya-Allah.

"Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan KPM akan terus meningkatkan keberkesanan program pendidikan STEM sebagai usaha menyediakan bakat STEM yang mencukupi ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

"Bagi menuju ke arah itu, dalam memperkasakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) STEM di dalam kelas. KPM dengan kerjasama Yayasan Petronas (YP) melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), KPM telah mewujudkan satu program di peringkat kebangsaan, iaitu Program Duta Guru (PDG),"katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang ketika persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke 15 di sini, hari ini.

Aznan berkata, pelaksanaan program itu adalah di bawah tanggungjawab Teach For Malaysia (TFM) yang berperanan dalam pembangunan dan perancangan program dan disokong Petrosains sebagai penyedia Hub STEM yang bertanggungjawab menyediakan fasiliti bagi Duta Guru untuk berkarya.

Sehingga kini, beliau berkata, Johor mempunyai seramai 142 Duta Guru dan Peserta Duta Guru.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 49 guru dari kohort satu, dua dan tiga dianugerahkan sebagai Duta Guru. Manakala, seramai 39 PDG Kohort empat dan 54 orang PDG Kohort lima masih dalam sesi latihan.

"Selain itu, pembabitan pelajar dalam kokurikulum STEM turut diberi perhatian. Pada 2023, lebih 16,000 pelajar terbabit dalam pertandingan di bawah seliaan KPM merangkumi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Pencapaian memberangsangkan dalam aktiviti STEM juga ditunjukkan apabila pasukan KPM muncul juara keseluruhan dalam pertandingan World Robotic Olympiad (WRO) 2023 di Panama City, Panama pada 4 hingga 11 November 2024 yang disertai oleh 80 negara apabila berjaya meraih 4 pingat emas, dua pingat perak dan dua anugerah kecemerlangan termasuk murid Johor daripada SK Bandar Uda 2 dan SMK Tinggi Batu Pahat.

"Dalam masa yang sama, pasukan Johor juga melakar kejayaan dalam pertandingan peringkat kebangsaan anjuran KPM dengan menjadi Johan Keseluruhan dalam Karnival STEM Peringkat Kebangsaan, Naib Johan Keseluruhan Pertandingan Robotik Kebangsaan dan Johan Keseluruhan Pertandingan Inovasi Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (PISTEK)," katanya.


Previous Post Next Post