Sagah ketika ditemui di Kompleks DUN bagi menghadiri ucapan penggulungan MEITD hari ini. - Gambar Roystein Emmor |
KUCHING: Pendekatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap Pentaksiran Berasaskan Sekolah dengan mencontohi beberapa negara Scandinavia tidak berfungsi dengan baik, kata Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) itu berkata, ia disebabkan keadaan buat masa ini yang kekurangan dari segi infrastruktur dan kemudahan pendidikan, kekurangan guru dalam mata pelajaran yang berkaitan, guru profesional yang tidak mencukupi serta pelbagai isu yang lain.
"Keperluan Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang berkesan memerlukan penambahbaikan dalam keseluruhan ekosistem pendidikan seperti guru, termasuk pembangunan profesional, infrastruktur, kemudahan, peralatan, keterkaitan dan kurikulum," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Sagah berkata, penggunaan siri penilaian dan peperiksaan berstandard yang teguh semasa zaman sekolah dahulu lebih menunjukkan keberkesanan.
"Ia berfungsi dengan baik dan mungkin, apabila masanya telah matang dengan pencapaian pembangunan yang besar misalnya, peluang pembangunan profesional guru yang mencukupi, Penilaian Berasaskan Sekolah boleh dilaksanakan," katanya.
Sejak awal tahun ini katanya, kementeriannya telah menyusun rancangan komprehensif untuk melaksanakan penilaian berstandard bagi pelajar Tahun Enam bermula tahun depan dan pelajar Tingkatan Tiga pada 2028.
“Inisiatif ini juga telah mendapat kelulusan secara prinsip oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang turut menawarkan sokongan dan kerjasama yang diperlukan bagi melaksanakan penilaian berstandard itu.
"Penilaian yang dirancang hanya akan melibatkan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang diajar dalam bahasa Inggeris, di bawah Program Dwi Bahasa Sarawak. Kohort pertama 2020 akan menduduki penilaian pada 2025," jelasnya.
Bagi memastikan kualiti dan standard penilaian, Sagah berkata, kementeriannya kini dalam siri perbincangan dengan penyedia penilaian bertauliah antarabangsa yang akan selesai tidak lama lagi.
"Saya ingin memberi jaminan bahawa penilaian tidak akan membebankan murid, guru dan ibu bapa. Biar kami bekerjasama dan melaksanakannya dengan tekun dan berdoa untuk hasil yang lebih baik," katanya.
Mengenai pembaikan dan pembangunan sekolah, Sagah memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak dan persekutuan kini sedang mengusahakan perincian pengaturan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan projek.
Meskipun pengaturan sedang dalam proses, pihak kerajaan persekutuan telah memperkenalkan alternatif model pelaksanaan bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan sekolah.
“Bermula hari ini (13 Mei) hingga 16 Mei, wakil daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) MEITD akan mengadakan lawatan tapak ke lapan sekolah di Sarawak untuk menilai keperluan bagi projek kerja pembaikan,” ujarnya.
Tambahnya, ICU JPM telah memaklumkan ketersediaan peruntukan untuk lapan projek sehingga RM5 juta bagi setiap sekolah, bergantung kepada tahap kerja yang diperlukan.
“Sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sibu, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang Sri Aman, SK Muhibbah Kuching, SK Sungai Bulu Senangeh Asajaya, SK Gumpey Gedong, SK Pelaman Sidunuk Serian, SK Patung Serian dan SK Rambungan Lundu,” katanya.
Beliau berharap dengan model pelaksanaan alternatif tersebut kerja-kerja pembaikan dapat dipercepatkan dan kemudiannya dapat diaplikasikan ke beberapa lokasi lain yang sesuai.
Marlinda Mardzuki
Utusan Borneo