Murid boleh mula tebus baucar buku melalui aplikasi DELIMa KPM



KUALA LUMPUR: Murid dan pelajar boleh mula menebus baucar buku yang bernilai hingga RM100 melalui aplikasi DELIMa Kementerian Pendidikan (KPM) mulai jam 2 petang ini.

KPM dalam kenyataannya, bagi tujuan penebusan itu murid atau pelajar dikehendaki mendaftar masuk (log masuk) aplikasi DELIMa menggunakan Dokumen pengenalan diri (ID) dan kata laluan masing-masing sebelum menekan ikon Kota Buku Digital.

"Seterusnya, murid atau pelajar perlu mendaftar akaun di Kota Buku Digital dan kredit akan dipapar di akaun masing-masing.

"Murid atau pelajar boleh memilih judul yang disukai daripada kepelbagaian judul yang ada terutama daripada Judul Cadangan MADANI.

"Setelah selesai memilih, murid atau pelajar dikehendaki daftar keluar (check- out) dan memilih pilihan bayaran kredit e-kedai (e-store credit)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu, memaklumkan buku yang dibeli akan dihantar terus ke alamat yang didaftarkan.

Panduan Pendaftaran


Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata, baucar berkenaan boleh dituntut melalui mekanisme yang akan diumumkan, mulai jam 2 petang ini.

Katanya, bagi tahun ini, pemberian baucar itu dimulakan dari Tahun Empat untuk mengurangkan tekanan kewangan kerajaan.

Dalam pada itu, KPM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman pemberian baucar buku RM50 kepada murid Tahun Empat hingga Tahun Enam dan RM100 kepada murid sekolah menengah, penuntut IPT dan pelajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

"Pengumuman itu mencerminkan keprihatinan beliau terhadap kepentingan menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda.

"Ia juga bertepatan dengan usaha berterusan KPM untuk mempertingkatkan budaya membaca dalam kalangan murid atau pelajar menerusi penganjuran pelbagai program galakan di setiap peringkat.

"Pemberian baucar buku seperti diumumkan Perdana Menteri adalah langkah ke hadapan yang menjadi pencetus kepada melahirkan generasi berilmu, pewaris masa hadapan Malaysia MADANI," katanya.

 

Previous Post Next Post