Masalah 3M, peranan ibu bapa tidak boleh dielak

Imej hiasan via Bing Image Creator


Isu keciciran kanak-kanak dalam menguasai kemahiran membaca, khususnya murid sekolah rendah semakin meruncing. Malah, pada April tahun lalu Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan 269,332 murid sekolah rendah di seluruh negara dikesan belum menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. 

Hal ini tentu sahaja memberi tamparan hebat kepada ibu bapa memandangkan tiga perkara berkenaan berkaitan dengan kemahiran asas yang paling utama kepada pembelajaran murid. Jadi, jika ia tidak dikuasai sebaiknya, secara tidak langsung akan menyebabkan murid berhadapan kesukaran menguasai pelajaran.

Antara sebab hal ini berlaku dikaitkan dengan faktor kegagalan anak-anak ini menghadiri kelas prasekolah. Misalnya, laporan keciciran prasekolah kanak-kanak membabitkan responden berusia empat hingga enam tahun mencatatkan peningkatan ketara.

Laporan itu menyebut, 174,933, iaitu 17.1 peratus kanak-kanak tidak menghadiri kelas prasekolah pada 2019, manakala 234,476 iaitu 22.2 peratus pula dicatatkan untuk 2020 dan meningkat kepada 286,861 (26.9 peratus) pada 2021. Kenaikan peratusan itu turut dikaitkan dengan faktor semasa, misalnya penularan COVID-19 yang menyebabkan ibu bapa tidak dapat menghantar anak ke sekolah. Walaupun faktor penularan wabak itu difahami, tetapi angka peningkatan kes keciciran amat menakutkan dan merisaukan apatah lagi jika tidak ada usaha menanganinya dibuat.

Bagaimanapun, peranan untuk membantu anak daripada tercicir literasi bukan terletak pada bahu guru di sekolah semata-mata. Sebaliknya, ibu bapa perlu berperanan misalnya melalui pelbagai inisiatif dalam memastikan anak mereka tidak tercicir dalam literasi.

Kandungan buku teks mencabar

Pada masa kini, kandungan topik dalam buku teks Bahasa Melayu sekolah rendah dilihat semakin mencabar, sekali gus akan menambahkan lagi masalah menguasai kemahiran asas membaca jika tidak dikuasai dengan baik.

Selain mengajar anak membaca atau mengira, proses dalam bentuk lisan antara ibu bapa dan anak juga perlu dibuat. Ia seharusnya dilakukan secara berulang kali sehingga mereka dapat mengenali bentuk dan suku kata yang menjadi asas kemahiran membaca.

Ibu bapa juga perlu membudayakan amalan membaca di rumah, aktiviti pembacaan ini perlu dipupuk sejak awal kerana anak akan meniru aktiviti yang ibu bapa lakukan, bak kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Jika aktiviti ini menjadi budaya di rumah, pada masa sama, mereka akan tertarik untuk ikut membaca. Usaha ibu bapa untuk membantu anak menguasai kemahiran membaca ini memerlukan usaha yang jitu dan berterusan.

Jadi pengorbanan ibu bapa amatlah diperlukan dan bersabar untuk melayani kerenah mereka ketika membaca, elakkan memberi tekanan kepada anak-anak.

Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan dan menjadi watak dalam kehidupan anak. Dalam konteks budaya membaca ia tentu sahaja dengan memulakannya daripada diri sendiri yang gemar membaca, sekali gus mampu membentuk sikap anak-anak terhadap pembacaan.

Sebagai tambahan, ibu bapa juga perlu berkomunikasi dengan guru kelas untuk mengetahui dan memahami kemahuan anak mereka dalam kemahiran membaca. Malah, mereka boleh berbincang mengenai kaedah dan cadangan dengan guru, selain ikut menyokong program dianjurkan sekolah bagi meningkatkan pencapaian literasi anak-anak mereka.

Hadi Hassan
Universiti Sains Malaysia
Artikel: Berita Harian


 

 

Previous Post Next Post