Muhammad Zaki memaklumkan siasatan selesai selepas kenyataan diambil daripada kedua-dua pihak. - Gambar fail/Bernama |
KOTA BHARU: Kes pedofilia terhadap seorang guru Maktab Rendah Sains Mara di Tumpat diklasifikasikan sebagai fitnah selepas siasatan tidak menemui bukti kukuh berhubung kes itu, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.
Beliau berkata, siasatan terhadap kes itu telah selesai selepas mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak terlibat.
Menurutnya, polis kini membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi siasatan ke atas penulisan.
"Hasil siasatan mendapati tidak ada bukti kukuh menunjukkan berlakunya gangguan seksual dan tidak wujud pedofilia terhadap mangsa.
"Guru yang didakwa itu juga mempunyai sikap dan kriteria yang baik, namun kita menunggu laporan perubatan ke atas wanita tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas mengenai sama ada penulisan itu ditulis kerana dendam atau fitnah, Muhamad Zaki berkata ia masih dalam siasatan.
Sebelum ini, polis memberi jaminan siasatan kes seorang guru MRSM Tumpat yang didakwa melakukan pedofilia terhadap seorang murid lelaki akan selesai dalam tempoh sebulan. – BERNAMA