Kerajaan tahu sumber kewangan untuk naik gaji, tidak perlu bimbang - PM

Imej via Bernama


PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penjawat awam supaya tidak bimbang dengan usaha kerajaan melaksanakan pelarasan gaji seperti diumumkan baru-baru ini.

Perdana Menteri menegaskan, pelarasan itu dilaksanakan selepas kerajaan melakukan kerja dasar dan tahu dari mana sumber kewangannya.

"Kita buat (pelarasan gaji) itu, apabila kita umum, itu selepas kerja dasar dilakukan, kita tahu dari mana (sumber) kewangannya, kita tahu hasilnya berapa dan kita dapat lihat umpamanya, seperti mana (pelaburan) Microsoft, itu dimulakan tahun ini, bila ACWA (syarikat Arab Saudi) datang? Dalam dua minggu mereka datang.

"Bukan bermakna ini rencana tiga atau empat tahun, jadi kalau ada usaha sebegini, kita yakin pendapatan negara akan bertambah, mutu khidmat penjawat awam akan lebih baik dan hasil kita akan bertambah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Dalam pada itu, Anwar menempelak pembangkang supaya tidak memperlekehkan usaha kerajaan menaikkan gaji penjawat awam.

Tegasnya, pembangkang perlu diberi pemahaman yang betul mengenai pelarasan gaji terbabit supaya ia tidak mengelirukan penjawat awam.

Hampir setiap keluarga ada penjawat awam

"Jadi kalau dia (pembangkang) nak tahu, ada sesi, biar Amir dan Johan bagi kuliah kepada beberapa pemimpin pembangkang mengenai ekonomi dan bagaimana kita uruskan.

"Kalau tidak nanti dia bingung, bila dia bingung, dia cerca di khalayak dan orang keliru padahal kena ingat kalau pun dia cerca kita di Kuala Kubu Bharu, hampir setiap keluarga ada penjawat awam yang bertugas," katanya.

Perdana Menteri berkata, ada juga pihak yang membandingkan usaha kerajaan sekarang dengan kerajaan terdahulu.

"Ketika mereka perintah, potong elaun dan suruh rakyat ikat perut.

"Jadi jangan perlekehkan usaha kita kerana saya tahu sukar dan saya merenung berbulan-bulan, mesyuarat berpuluh kali," katanya.

Previous Post Next Post