Kredit Gambar: Nga Kor Ming/ Bernama |
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan anugerah Toilet of The Year kembali lagi pada tahun ini dengan hadiah bernilai RM140,000 bagi tujuh kategori.
Dalam satu hantaran di laman X, beliau berkata semua layak bertanding termasuk sekolah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), restoran, hotel, stesen minyak, hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan gedung pasar raya.
"Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab kita semua.
"Anugerah Toilet of the year 2024 sedang menanti anda dengan hadiah untuk tujuh kategori bernilai RM140,000," katanya.
Untuk pengetahuan, anugerah Toilet of The Year ini buat julung kalinya diadakan pada tahun 2023.
Ia bertujuan untuk memastikan tandas awam di Malaysia bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).
Bukan itu sahaja, inisiatif itu juga diharapkan mampu menaikkan imej negara khususnya dalam kalangan pelancong asing.
Merupakan hasil cetusan idea Nga Kor Ming sendiri, ia juga adalah sebagai langkah persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia pada 2025.
Dalam laporan Bernama pada tahun lalu, Nga Kor Ming berkata anugerah itu juga penting untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap kebersihan tandas awam di negara kita.
"Sebenarnya wawasan saya bukan sahaja kita mahu pastikan tandas awam negara bertaraf dunia tetapi inisiatif ini juga untuk bangunkan industri peralatan tandas.
"Industri ini berkembang dengan sangat pesat susulan urbanisasi dunia dalam memperkenal kediaman pintar yang turut dilengkapi tandas pintar serta kesedaran dalam penjagaan tandas," katanya ketika itu.
Pada tahun lalu, pemilihan pemenang dibuat oleh juri bebas iaitu daripada Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia dan wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
"Manakala, KPKT hanya bertindak sebagai penganjur dan tidak terlibat dengan proses pemilihan pemenang," katanya.
Anugerah Toilet of The Year 2023 itu menyaksikan ia dimenangi oleh The George Group Penang (kategori hotel), Toppen Shopping Mall Johor Bahru (pusat beli-belah) Elmina Arah Selatan (hentian Rewat dan Rawat), Petron Senai Johor (stesen minyak) dan Cawan Mu Ipoh Perak (restoran).