Guru tadika digesa ajar kanak-kanak belajar hidup sebagai masyarakat

 

Lau (tujuh kiri), Teresa (sembilan kiri), guru-guru dan ibu bapa memotong kek sempena meraikan Hari Guru dan Hari Ibu Tadika Yakin Diri YMCA di Sibu hari ini.

SIBU: Guru-guru tadika digesa mengajar kanak-kanak belajar hidup bersama sebagai masyarakat bagi menjamin keharmonian kaum.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Tadika Yakin Diri YMCA Temenggung Dato Vincent Lau berkata, mengekalkan keharmonian kaum adalah penting terutamanya apabila Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum. 

Beliau berkata, ini adalah antara pendidikan penting yang sepatutnya diberikan oleh Tadika Yakin Diri YMCA kepada kanak-kanak. 

"Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan sejak awal lagi, kita boleh bergaul antara satu sama lain sekali gus menggalakkan keharmonian kaum. 

"Keharmonian kaum amat penting untuk kestabilan politik dan ekonomi. 

"Di Tadika Yakin Diri YMCA selain mengajar anak-anak, kita memberi pengetahuan asas, mahu anak-anak datang ke tadika agar dapat belajar hidup bersama sebagai masyarakat," katanya pada Majlis Sambutan Hari Guru dan Hari Ibu di tadika itu hari ini. 

Mengenai sambutan Hari Guru, beliau berkata Kementerian Pendidikan menetapkan 16 Mei setiap tahun mengiktirafkan sumbangan semua guru. 

Beliau berkata, sambutan Hari Guru adalah penting bagi menyemai rasa hormat terhadap guru dalam kalangan pelajar. 

"Kita mahu melihat rakyat kita sentiasa bersyukur, barulah kita dapat melahirkan masyarakat penyayang. Melalui ini, kita mewujudkan masyarakat harmoni," jelasnya. 

Justeru katanya, menyambut Hari Guru dan Hari Ibu perlu untuk mengingatkan kanak-kanak supaya sentiasa bersyukur. 

Sementara itu, Guru Besar tadika tersebut Teresa Lau berkata, sambutan itu penting untuk mengingatkan kanak-kanak supaya berterima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru. 

"Ibu bapa adalah guru pertama kepada anak-anak kita. Sama seperti mana-mana guru, ibu bapa juga bertanggungjawab membina sahsiah anak-anak kita," katanya. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah dan Naib Pengerusi YMCA Sibu Wong Ei Sing.
Previous Post Next Post