Gaji minimum baharu penjawat awam lebihi RM2,000 sebulan

 

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai 1 Disember depan. 

Katanya, sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar tersebut akan lebih tinggi daripada itu. 

Tambah Anwar, pendapatan minimum penjawat awam beserta elaun ditetapkan pada RM2,000 melibatkan implikasi kewangan sejumlah RM10 bilion. 

“Pada masa ini, jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan. Di bawah SSPA (Sistem Saraan Perkhidmatan Awam) yang sedang diperincikan, Kerajaan akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan. 

“Untuk tahun depan, bila kita mula laksanakan, ia akan mencecah lebih RM10 bilion, kerana jumlahnya agak besar dan kenaikannya agak lumayan.. dan ini adalah kenaikan paling baik dalam negara,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 di sini, hari ini.
Previous Post Next Post