Adnan bercakap kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di PICC, hari ini. - FOTO BERNAMA |
PUTRAJAYA: CUEPACS berharap beberapa cadangan yang telah dikemukakan oleh pihaknya untuk penambahbaikan dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), dapat dilaksanakan segera.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata cadangan itu termasuk berkaitan kenaikan pangkat, pemberian elaun, pencen pesara serta indikator lain dalam pakej SSPA.
Namun pada masa sama, beliau berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pengumuman kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember depan.
"Memang ada insentif lain yang CUEPACS perjuangkan dan ia kini dalam pertimbangan terakhir. Apa yang diumumkan Perdana Menteri tadi adalah isu kritikal dan ia memberi kelegaan kepada penjawat awam kerana sebelum ini, kami (penjawat awam) runsing mengenai gaji dan akan tertekan sekiranya tiada kenaikan dalam waktu terdekat.
"Perdana Menteri sudah membuat pertimbangan sewajarnya mengenai kenaikan gaji penjawat awam dan pada masa sama, tidak melupakan sektor lain.
"CUEPACS meminta penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik serta menjaga tatakelola terbaik kepada rakyat dan negara," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema 'Pekerja Kesuma Bangsa' yang disempurnakan oleh Anwar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat pada majlis itu mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.
Sebelum ini, Adnan dilaporkan berkata, antara isu berkaitan penjawat awam yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan ialah berhubung pelarasan gred, kenaikan gaji tahunan serta tempoh kenaikan pangkat yang mengambil masa terlalu panjang.
Mengulas lanjut, Adnan turut berharap kerajaan mempertimbangkan kenaikan pencen pesara berikutan peningkatan kos sara hidup kini.
"CUEPACS berharap kerajaan dapat memberi sedikit pertimbangan ihsan sama ada pesara ini layak atau tidak untuk mendapat peningkatan pencen. Jika mereka layak, berilah sebaik mungkin kerana pemberian pencen ini juga berada dalam keadaan kritikal," katanya.