Imej hiasan via Bing Image Creator |
Bertemakan 'Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI', ia bermatlamat menyokong satu daripada tujuh Teras Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan (KPM), iaitu peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah bagi memastikan murid dapat menghadapi cabaran dunia digital dengan lebih baik.
Pada era pendidikan moden, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar, bukan lagi dalam skop pengajaran dan pembelajaran (PdP), bahkan bagaimana hendak beradaptasi dengan perubahan pesat teknologi serta perlu menangani tugasan pentadbiran, menyediakan rancangan pengajaran dan menilai prestasi pelajar.
Walaupun pengalaman dan kebijaksanaan mereka amat berharga, kesukaran menguasai teknologi moden berasaskan kepintaran buatan (AI), internet kebendaan (IoT) serta teknologi digitalisasi boleh menghalang keupayaan guru untuk memberikan pengajaran berkesan.
Hari ini, penguasaan teknologi antara cabaran dan beban paling besar dihadapi guru, terutama yang sudah berusia sehingga ada yang membuat keputusan bersara awal daripada profesion perguruan. Bukan kerana lelah dengan kerjaya atau kerenah murid, sebaliknya 'mengah' untuk memastikan diri mampu beradaptasi dengan teknologi baharu.
Tekanan untuk memenuhi standard akademik dan harapan daripada pelbagai pihak bagi meningkatkan kualiti pendidikan menyebabkan guru mengalami tekanan dan keletihan melampau. Kajian menunjukkan beban tugas berat boleh menjejaskan kesejahteraan mental dan fizikal guru, seterusnya mempengaruhi kualiti pengajaran.
Namun, pendidik sejati lazimnya berjiwa besar dan bersemangat untuk relevan serta berkesan dalam pengajaran, sekali gus mendorong mereka mengikuti program pembangunan profesional berterusan. Namun, kekurangan masa dan sumber daya sering menjadi halangan.
Kita percaya KPM komited merangka program dan menyusun strategi ampuh bagi menangani isu guru berusia ini, di samping memastikan dapat melahirkan pendidik berdaya saing tinggi, cekap serta mahir teknologi baharu dan bertenaga mengharungi cabaran baharu dunia pendidikan.
Sebelum ini, pelbagai bentuk ganjaran, termasuk anugerah perkhidmatan cemerlang, kenaikan pangkat berdasarkan merit dan insentif kewangan dijelmakan KPM bertujuan mengiktiraf usaha dan dedikasi guru, sekali gus menggalakkan mereka untuk terus berkhidmat lebih lama.
Guru bersara awal bukan sahaja menyebabkan kekurangan tenaga pengajar, tetapi juga kehilangan pengalaman dan kebijaksanaan amat berharga untuk dicurahkan kepada generasi baharu bagi menjadi pemimpin pelapis negara. Maka, dengan pendekatan tepat, cabaran ini dapat diatasi.
Sokongan berterusan, latihan relevan dan pendekatan berfokus kepada membina keyakinan serta kemahiran boleh membantu guru berusia menyesuaikan diri dengan teknologi moden. Dengan cara ini, mereka dapat terus memberikan pengajaran berkualiti dan relevan pada era digital sambil memanfaatkan pengalaman dan kebijaksanaan mereka miliki.
Bahkan, keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam, termasuk guru sebanyak 15 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara mulai 1 Disember nanti diharap menjadi motivasi kepada pendidik untuk menabur bakti sehingga tiba masa bersara.
Minda Pengarah | Berita Harian