Autonomi lebih besar kepada guru dalam Kurikulum Persekolahan 2027 - Fadhlina


KUALA LUMPUR: Warga pendidik khususnya guru-guru, akan diberi autonomi lebih besar dalam pengenalan kurikulum baharu iaitu Kurikulum Persekolahan 2027 akan datang. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata autonomi itu hadir dengan tanggungjawab serta integriti dan Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini sedang memberi latihan bagi memenuhi matlamat terbabit. 

"Walaupun kita membenarkan autonomi yang lebih besar kepada guru, dengan adanya autonomi itu di mana akan berlaku dalam kelas, kita akan pastikan autonomi itu juga hadir dengan tanggungjawab, integriti dan latihan (secukupnya) kepada guru. 

"Kita akan siapkan guru ini untuk berhadapan dengan autonomi, supaya guru dan isu integriti itu tidak dipertikaikan nanti," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri siri syarahan kecemerlangan dan kesejahteraan belia di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini. 

Kurikulum Persekolahan 2027 dibentuk berteraskan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi, antara lain bermatlamat melahirkan murid yang berpengetahuan dan kompeten serta mencapai keseimbangan yang optimum dalam memberikan pendidikan berkualiti. 

Kurikulum itu menyaksikan murid sekolah rendah dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Tahap Satu (Tahun Satu dan Dua); Tahap Dua (Tahun Tiga dan Empat); serta Tahap Tiga (Tahun Lima dan Enam). 

Pada masa ini, murid sekolah rendah dibahagikan kepada dua tahap iaitu Tahap Satu (Tahun Satu, Sua dan Tiga) dan Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam). 

Mengulas lanjut, beliau berkata, KPM ketika ini sedang giat menjalankan sesi libat urus bagi mendapatkan pandangan dan cadangan pelbagai pihak, sebagai persediaan merangka Kurikulum Persekolahan 2027. 

"Kita sudah pun melaksanakan siri sesi libat urus berkaitan dengan kurikulum masa depan. Dalam sesi libat urus ini, ada perbincangan menyentuh tentang kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang saya anggap cukup signifikan, bagi menjawab persoalan, kebimbangan dan keprihatinan masyarakat tentang apa yang sepatutnya diberi tumpuan dan fokus dalam pendidikan yang akan bermula pada 2027 itu. 

"Prasekolah akan dimulakan lebih awal iaitu pada 2026. Sekarang KPM sedang melaksana libat urus dan mula menyiapkan guru-guru dengan kerangka kurikulum yang baru. Jadi ia dapat berlangsung dengan baik dan segala input sedang kita dapatkan (menerusi sesi libat urus)," katanya. 

Menyentuh laporan Bank Dunia bertajuk 'Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills' berkenaan sistem pendidikan negara, Fadhlina berkata, KPM ambil mklum isu disentuh dan sememangnya ia sedang ditangani pihaknya sejak beberapa tahun lalu. 

"Selain laporan Bank Dunia, kita harus melihat inisiatif yang sedang dilaksanakan KPM, terutama perkembangan dan laporan dari Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang kita keluarkan saban tahun. Laporan itu menunjukkan kejayaan serta tentang perkembangan yang kita sedang lakukan dan isu yang sedang kita tangani disemua peringkat. 

"Jadi, kita kena sentiasa optimis dengan pendidikan ini. Apa saja laporan dan maklumat harus kita lihat dan tangani dengan penuh cermat dan tindakan yang progresif. Saya menegaskan di KPM, kita sudah mengambil langkah lebih awal termasuk menubuhkan jawatankuasa untuk meneliti isu-isu ini. 

"Contohnya dibawah Jawatankuasa Prasekolah, 2024 memang tahun perluasan prasekolah, ia memang dilaksanakan secara besar-besaran. 

"Selain isu intervensi kurikulum, pembudayaan STEM (Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi), digital serta TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) yang sedang kita beri tumpuan serta memartabat bahasa Melayu. Semua yang disebutkan tadi, termasuk laporan Bank Dunia itu, memang sedang kita tangani," katanya. 

Media sebelum ini melaporkan laporan Bank Dunia itu memberi gambaran membimbangkan tentang sistem pendidikan di Malaysia, biarpun perbelanjaan besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Dalam laporan itu, Bank Dunia melaporkan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir Darjah 5, jauh lebih teruk daripada rakan serantau (34 peratus berjuang dalam ekonomi yang serupa).

 

Previous Post Next Post