PUTRAJAYA: Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumumkan kerajaan merupakan antara sistem terbaik yang pernah diperkenalkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata biarpun implikasi pelaksanaannya tinggi, namun kerajaan wajar mengiktiraf perkhidmatan penjawat awam dengan lebih adil.
Ujarnya, sudah tiba masanya penghargaan diberi kepada penjawat awam setelah sistem persaraan ini sudah 12 tahun tidak dikaji biarpun sepatutnya ia dilakukan setiap 10 tahun.
Katanya lagi, pengiktirafan juga tidak wajar diberi berdasarkan umur dan tempoh pengalaman, sebaliknya perlu berdasarkan prestasi kerja.
“Saya tidak mahu satu jabatan, satu kelompok pun merasa tertinggal atau tersisih, kita nak ambil tindakan persaraan ini secara menyeluruh, dan saya minta dilakukan bersama reformasi perkhidmatan awam.
“Kita juga harapkan prestasi lebih baik, kerja lebih serius, dan ketua-ketua jabatan pantau kerana dalam kelompok besar, ada yang malas, ada yang lemah, dan saya tak fikir orang yang malas harus diberi kenaikan pangkat,” katanya dalam ucaptama Majlis Townhall Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, segala kemudahan untuk penjawat awam dari Semenanjung ke Sabah Sarawak atau sebaliknya, dikaji semula.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM2 juta kepada PPTD untuk memastikan program serta aktiviti yang dirancang, dapat dilaksanakan.