Pengambilan guru COS penuhi syarat ketat, tidak abai kualiti

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin & Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad


Lambakan graduan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) dari Universiti Awam (UA) dan guru berpencen awal antara dua isu utama perlu diberi tumpuan dan diselesaikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum membuka pengambilan guru baharu daripada kalangan lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad, berkata 10 tahun lalu negara pernah menyaksikan berlaku lebihan guru selepas Institut Pendidikan Guru (IPG) melakukan pengambilan sebanyak tiga kali setahun.

Katanya di universiti yang menawarkan program perguruan pula, program pengajian disingkatkan daripada empat kepada tiga tahun sahaja bagi menangani masalah ke- kurangan guru yang sangat kritikal ketika itu.

"Pelaksanaan dasar itu dalam jangka pendek tiada masalah, kerana ia terbukti membantu mengatasi kekurangan guru.

"Namun dalam jangka panjang rupa-rupanya berlaku lambakan guru dan apabila hal itu berlaku, proses pengambilan siswazah perguruan dikembalikan kepada asal iaitu pengambilan dua kali setahun ke IPG dan pengajian selama empat tahun di UA," katanya.

Justeru tegas Anuar, berdasarkan pengalaman itu, KPM sebenarnya perlu berhati-hati, selain memerlukan dasar yang jelas bagi memastikan peristiwa lambakan guru itu tidak berulang sehingga merugikan siswazah yang mengikuti PISMP.

Katanya, hal ini merugikan mereka disebabkan peluang kerja sangat terhad, kerana tidak ada mana-mana majikan yang mahu mengambil lulusan PISMP yang dididik untuk menjadi guru.

Anuar berkata lambakan guru adalah kebimbangan siswa yang menuntut dalam bidang perguruan kerana sudah berhempas pulas belajar selama empat tahun namun akhirnya menganggur.

Tambahnya lagi, usaha KPM membuka peluang kepada pelajar lepas STPM, STAM dan Matrikulasi hanyalah satu proses jangka pendek dalam menangani masalah kekurangan guru dan tidak ada ma- salah sekiranya ia diteruskan.

Kembalikan peranan guru

Bagaimanapun ujarnya, KPM perlu bersedia dalam semua hal kerana apa yang membimbangkan sekiranya berlaku lambakan guru berikutan terdapat 27 IPG di seluruh negara yang menawarkan program perguruan selain tiga buah UA yang menawarkan kursus serupa.

Jelasnya ketika ini pun masih ramai graduan PISMP yang belum bekerja dan seharusnya KPM memberi tumpuan kepada golongan itu termasuk sudah mula membuat penempatan mengajar.

"Lambakan graduan perguruan ini yang membimbangkan kita, bukannya kita tidak sokong usaha KPM itu.

"Dan disebabkan itu KPM seharusnya mempunyai sistem tersendiri, ada data yang sistematik dan unjuran data itu boleh diguna bagi pengambilan guru baharu.

"Sebagai contoh berapa banyak guru diperlukan bagi mengajar subjek Sains atau subjek kritikal lain dan berdasarkan keperluan itu KPM buka untuk pengambilan, namun sehingga data itu tidak dikongsikan," katanya.

Justeru kata Anuar, fokus sebenar KPM ketika ini bukan menambah bilangan graduan perguruan sebaliknya mengatasi lambakan graduan dan juga kekurangan guru di sekolah.

"Kita juga tidak pasti ke mana calon guru daripada pelajar STPM, STAM dan program Matrikulasi ini ditempatkan, adakah di IPG atau UA?

"Kalau mengikut amalan ketika ini pelajar lepasan SPM akan ditempatkan di IPG dan STPM di UA. Jadi, adakah KPM akan menempatkan ambilan STPM, STAM dan Matrikulasi di IPG juga? 

"Adakah ini bermakna KPM akan mengurangkan pengambilan calon guru daripada pelajar lepasan SPM? Itu perlu diperjelaskan oleh KPM,"katanya. Mengulas mengenai perlunya langkah bagi mengelakkan guru bersara awal, Anuar berkata, KPM perlu mengembalikan peranan guru dalam konteks sebenar sebagai pendidik.

Ujarnya guru pada tahun 80-an dan 90-an hanya ditugaskan mengajar dan tidak memegang jawatan tambahan lain berbanding sekarang ini, guru diamanahkan dengan pelbagai jawatan di sekolah selain mengajar. Justeru katanya, tidak menghairankan berlaku senario guru bersara awal.

Tegas Anuar, apa yang perlu dilakukan adalah mengatasi masalah berkenaan terlebih dahulu, kerana umumnya mereka yang bersara awal ini sudah mengumpul pengalaman berpuluh tahun sebagai guru. Justeru langkah bersara awal adalah kerugian dalam bidang pendidikan negara.

"Dua isu ini perlu diberi penekanan oleh KPM untuk diselesaikan kerana ia adalah faktor jangka masa panjang berbanding pengambilan calon baharu yang sebenarnya hanya faktor jangka pendek.

"Data atau unjuran guru bersara awal ini juga boleh digunakan dalam mengisi kekosongan guru dan itu yang sebaiknya perlu dilakukan, kita belajar daripada pengalaman yang lalu,"katanya.

Bukan guru COS

Sementara itu Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin, berkata biarpun KPM membuka pengambilan calon guru kepada pelajar pelajar daripada kategori berkenaan, bukan bermaksud kementerian itu mengabaikan kualiti dalam pengambilan.

Katanya calon yang diberi peluang akan dinilai daripada keputusan peperiksaan mereka termasuk purata nilai gred kumulatif (CGPA) yang diperoleh.

"Sudah pasti syarat itu ketat kerana KPM mahu melahirkan guru yang berkualiti bukan sekadar tangkap muat bagi mengisi kekurangan guru.

"Amalan sekarang ini, bakal guru yang dilatih di IPG adalah pelajar cemerlang SPM namun KPM mahu memperluaskan kepada pelajar cemerlang STPM, STAM dan Matrikulasi pula dan mereka akan mengikuti pengajian selama empat tahun di IPG, "katanya.

Katanya, beliau maklum mengenai keengganan segelintir guru berkhidmat di kawasan pedalaman yang dikatakan turut menjadi punca isu kekurangan guru, Roslan menegaskan kebariyakan kes membabitkan Guru kontrak perkhidmatan (COS).

Tegasnya, mereka memang ditawarkan untuk mengajar di pedalaman bagi mengatasi kekurangan guru namun disebabkan jauh atau faktor-faktor lain mereka kemudiannya menolak tawaran itu.

Roslan menegaskan bagi pengambilan calon guru daripada pelajar STPM, STAM dan Matrikulasi pula ia adalah untuk mengisi lantikan guru secara tetap dan tidak termasuk dalam kategori COS.

Berita Harian


Previous Post Next Post