Gambar hiasan via Bing Image Creator |
PETALING JAYA: Pakar pendidikan mencadangkan kepada kerajaan untuk melihat semula program prasekolah selain perlu melibatkan pakar pendidikan awal kanak-kanak dalam langkah reformasi pendidikan.
Menurut mereka, ia bagi memastikan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah bersedia untuk belajar dalam usia tersebut.
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Hasnah Toran berkata, sebarang program perlu dilihat semula bagi memastikan apa yang ada sekarang masih relevan dan yang mana perlu diperbaiki.
Katanya, kerajaan tidak boleh membiarkan begitu sahaja sehingga tidak sedar ada program yang sudah lapuk.
"Antara dua kemahiran utama yang perlu diberikan tumpuan adalah kemahiran sosial emosi kerana kemahiran ini adalah asas kepada pendidikan awal.
"Seterusnya adalah kreativiti. Sudah tiba masa untuk kita melihat ke hadapan dan tidak lagi mengajar kanak-kanak dengan hanya faham dan hafal.
"Jika kita lihat Bloom's Taxonomy, ia adalah antara ilmu tahap tinggi untuk menghasilkan ilmu baharu. Mengasah kreativiti kanak-kanak adalah salah satu caranya," katanya ketika dihubungi.
Kementerian Pendidikan (KPM) telah mewujudkan pasukan khas untuk penyelarasan semula sistem pendidikan prasekolah di bawah kementerian itu bagi mempercepat reformasi pendidikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, agenda KPM adalah untuk memastikan kurikulum dan juga isu-isu berkaitan prasekolah seperti dari segi pembelajaran serta silibus dapat diselaraskan semuanya di bawah kementerian.
Selain itu, Hasnah Toran berkata, kerajaan perlu memastikan pendidikan prasekolah di Malaysia setaraf dengan peringkat antarabangsa.
"Pendidikan adalah sepanjang hayat, maka kita perlu pastikan setiap tahap pendidikan yang diterima oleh anak-anak Malaysia adalah berkualiti dan bertaraf dunia.
"Kita tidak boleh menafikan bahawa pendidikan awal dan prasekolah adalah penting kerana ia menjadi asas untuk tahap pendidikan yang mendatang,” katanya.
Dalam pada itu, pakar pendidikan awal kanak-kanak dari Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Profesor Dr. Bustam Kamri berkata, langkah itu baik sekiranya anggota pasukan khas benar-benar terlatih dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan memahami aspirasi reformasi yang ingin dipercepat.
"Pada pandangan saya, sistem sedia ada masih tidak menepati dengan kemampuan kanak-kanak di bawah usia enam tahun.
Mereka yang menggubal tidak melihat aspek kesediaan kanak-kanak peringkat usia tersebut.
"Penambahbaikan perlu melibatkan pakar-pakar pendidikan awal kanak-kanak dengan melihat fitrah kesediaan belajar di peringkat usia enam tahun ke bawah.
Bukannya dilihat pada pandangan mata kaca orang dewasa dan pendidikan rendah atau menengah," ujarnya.
Artikel asal: Utusan Malaysia