KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin sebagai manifestasi penghargaan kerajaan terhadap usaha keras penjawat awam dalam menjalankan tanggungjawab.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, bantuan yang diberikan itu juga membuktikan Perdana Menteri sentiasa terbuka mendengar pandangan daripada pihaknya walaupun pada awalnya dilaporkan kerajaan tidak akan memperuntukkan sebarang bantuan khas untuk Aidilfitri memandangkan penjawat awam telah menerima bayaran insentif awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Februari lepas.
Beliau berkata, Cuepacs merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana bersetuju untuk memberikan BKK Aidilfitri itu.
"Alhamdulillah akhirnya YAB Perdana Menteri beri pertimbangan wajar bagi membantu penjawat awam. Cuepacs yakin pertimbangan yang diberikan kerajaan hari ini memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam.
"Cuepacs memahami situasi semasa dan keputusan yang dibuat kerajaan dengan keadaan ekonomi ketika ini. Cuepacs berharap penjawat awam akan terus memberi komitmen penuh dalam menjalankan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada rakyat dan negara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pagi tadi Anwar mengumumkan keputusan kerajaan untuk memberikan BKK Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar Jumaat ini, di samping RM250 kepada pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.
Adnan berkata, pihaknya percaya bantuan khas yang diterima oleh penjawat awam ini turut memberi manfaat dan kesan secara tidak langsung kepada ekonomi negara.
"Dari sudut yang lebih luas, pemberian bantuan khas kewangan ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang itu beredar di pasaran.
"Bantuan kewangan itu sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan ia akan memanfaatkan peniaga-peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi yang lain," katanya.
Sementara itu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut menyambut baik pengumuman BKK Aidilfitri yang disifatkannya memberi kelegaan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan dalam membantu keluarga masing-masing untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berharap supaya inisiatif seperti itu dicontohi juga oleh pihak swasta memandangkan ia mampu meningkatkan moral pekerja dan memberi manfaat kepada komuniti secara keseluruhan.
"Memberi bantuan khas kepada pekerja pada waktu-waktu penting seperti Aidilfitri menunjukkan tanggungjawab sosial korporat dan menghargai sumbangan pekerja terhadap organisasi.
"Tindakan seperti ini juga dapat memperkuatkan hubungan antara majikan dan pekerja serta meningkatkan imej korporat. Apabila pihak swasta turut memberi bantuan khas semasa perayaan, ia mencerminkan komitmen mereka terhadap kesejahteraan pekerja dan masyarakat secara keseluruhan," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu pesara kerajaan, Abdul Jalal Ibrahim berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan dalam memberikan BKK Aidilfitri kepada golongan sepertinya.
Beliau berkata, pemberian itu sangat membantu dalam meringankan bebannya sekeluarga menjelang perayaan satu Syawal.
"Saya harap bantuan ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang, dan jumlahnya ditingkatkan sedikit," katanya. - Bernama