Perubahan pentaksiran, PBD jadi lebih adil & harmoni


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini mengumumkan penukaran Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) kepada bentuk peratus dan gred bagi tujuan pelaporan tahap penguasaan (TP) akhir pelajar di sekolah, selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang keliru dengan pelaporan sebelum ini.

Dalam konteks peperiksaan di sekolah di Malaysia, beberapa faktor berperanan penting membentuk landskap pendidikan, termasuk peperiksaan. Pembabitan pelbagai pihak berkepentingan seperti sekolah, ibu bapa dan kerajaan adalah penting untuk memastikan pencapaian pembelajaran efektif.

Maka, dengan wujudnya satu perubahan baharu dalam sistem pentaksiran ini, pihak berkepentingan diyakini hadir merealisasikan hasrat Menteri Pendidikan. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang dibangunkan berfokus kepada pembangunan pelajar dan setiap usaha diterajui adalah mengambil kira kepentingan pelajar sebagai keutamaan.

Persoalan diutarakan di sini ialah bagaimanakah perubahan pentaksiran ini dapat membantu pelajar mencapai pembelajaran sepanjang hayat dan guru mampu meningkatkan proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam bilik darjah.

Peperiksaan di sekolah Malaysia adalah aspek penting dalam sistem pendidikan negara yang mana guru perlu memiliki sikap positif terhadap perubahan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran.

Ini termasuk perubahan dalam sistem pentaksiran yang berlaku dari masa ke semasa mengikut perubahan era pendidikan dan teknologi terkini.

Pengurusan bilik darjah dalam menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif, membina hubungan dan kerjasama dengan pelajar serta mengawal disiplin bilik darjah adalah elemen asas mengambil kira kepentingan pelajar.

Bukan sahaja peranan dan hubungan antara guru ini dapat merangsang daya kreativiti dan inovasi guru, malah ia juga dipercayai boleh memberi aura positif dalam budaya kecemerlangan di sekolah. Pendidik mengamalkan kerjasama dan perkongsian ilmu mampu memainkan peranan penting melonjakkan prestasi akademik pelajar.

Perlu diakui penggunaan peratus dan gred memudahkan penyelarasan prestasi pelajar dengan standard prestasi ditetapkan kurikulum atau pihak berkuasa pendidikan.

Gred dan peratus membolehkan pihak pentadbir sekolah serta guru melihat trend prestasi pelajar dari masa ke semasa dan mengenal pasti trend positif atau negatif.

Kaedah lebih mudah difahami

Pada masa sama, ia kaedah mudah difahami pelajar, ibu bapa dan pihak lain di samping memberikan gambaran jelas mengenai pencapaian pelajar dalam sesuatu mata pelajaran atau peperiksaan.

Kaedah pentaksiran menyeluruh dan holistik kerana penggunaan peratus serta gred mungkin tidak mencerminkan sepenuhnya kebolehan sebenar pelajar atau pencapaian mereka dalam aspek seperti kreativiti, pemikiran kritis atau kemahiran interpersonal. Ini kerana peratus dan gred memberikan gambaran kuantitatif mengenai prestasi pelajar.

Bagaimanapun, peratus dan gred ini boleh digunakan secara holistik apabila diperlukan melalui maklum balas guru lebih mendalam mengenai perkembangan pelajar dalam pelbagai aspek pembelajaran. Ia perlu melalui satu rubrik penggredan yang boleh digunakan untuk menilai pelbagai aktiviti dalam mana-mana bidang mata pelajaran seperti tugasan, kerja rumah, penyertaan, projek merangkumi peperiksaan esei, kerja kumpulan, aktiviti dalam kelas, laporan makmal, prestasi, portfolio dan penilaian kendiri.

Dalam konteks ini, lazimnya rubrik khusus direka bentuk sebagai struktur jenis grid (grid-type structure), iaitu satu rubrik penggredan merangkumi kriteria, tahap prestasi, skor dan deskriptor menjadi alat penilaian unik untuk mana-mana tugasan tertentu pelajar membabitkan aspek seperti kreativiti, pemikiran kritis atau kemahiran interpersonal.

Rubrik adalah set kriteria eksplisit untuk menilai jenis kerja atau prestasi pelajar dan ia membantu guru menilai dengan lebih objektif, manakala pelajar tahu fokus perlu dilaksanakan mereka melalui rubrik dibangunkan.

Pelajar akan sering kali berusaha mencapai gred lebih tinggi atau mencapai markah lebih baik, sehingga boleh meningkatkan motivasi dan semangat belajar mereka.

Secara umum, wujud juga dalam kalangan masyarakat menghadapi kerumitan untuk memahami konsep peratus dan gred ini, terutama apabila terdapat pelbagai jenis gred dan skala penilaian berbeza-beza dalam kalangan anak mereka. Kadangkala ia bergantung kepada persepsi guru mempunyai penilaian berbeza-beza terhadap kerja pelajar.

Di sini pentingnya kaedah moderasi markah dilaksanakan sebelum setiap markah akhir di hantar ke pihak berkepentingan untuk menilai semula pencapaian pelajar secara formal dalam kalangan guru di institusi masing-masing.

Penggunaan gred dan peratus boleh mencetuskan tekanan tambahan pada pelajar bagi mencapai prestasi tinggi.

Dalam hal ini, pelajar mungkin cenderung untuk hanya mengejar markah tinggi tanpa benar-benar memahami dan menguasai konsep diajar membawa kepada ketidakseimbangan dalam pendekatan pelajaran.

Kita bimbang akan wujud pelajar yang melaksanakan pendekatan pembelajaran melalui hafalan tanpa memahami konsep atau prinsip asas satu-satu mata pelajaran.

Untuk mengatasi masalah ini, penting untuk menyediakan sokongan dan bimbingan mencukupi kepada pelajar dalam memahami konsep gred dan peratus. Ini termasuk memberikan maklum balas berkualiti, mendorong pembelajaran holistik dan mengurangkan tekanan tidak perlu terhadap prestasi akademik.

Selain itu, guru juga boleh memberikan penilaian adil dan objektif serta memastikan sistem pentaksiran berada dalam keseimbangan dengan matlamat pembelajaran sebenar.

Secara tuntas, penggunaan peratus dan gred membolehkan penilaian berdasarkan pencapaian pelajar secara objektif dan konsisten. Ini kerana sistem penilaian lebih teratur dan tersusun, menjadikan proses penilaian lebih adil dan harmoni.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia

Previous Post Next Post