Neelofa Entira Entegang, 11, dipercayai sedang menunggu sarapan pagi sebelum disedari hilang sekitar jam 5.55 pagi. -Foto JBPM Sarawak |
SARATOK: Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat berada di dalam bilik darjah di SK Engkudu, di sini, pagi tadi.
Kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Neelofa Entira Entegang, 11, dipercayai sedang menunggu sarapan pagi sebelum disedari hilang sekitar jam 5.55 pagi.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah, kehilangan murid tahun lima itu dimaklumkan kepada bapanya, sebelum dilapor kepada pihak bomba pada jam 8.27 pagi.
“Balai Bomba dan Penyelamat Saratok kemudian diarah mengatur gerak sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS ke lokasi dengan kekuatan sembilan anggota untuk mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat, yang turut dibantu pihak polis, sekolah, dan penduduk kampung.
“Kawasan pencarian bermula dari radius satu kilometer (km), sebelum diperluas ke radius 2 km di seluruh kawasan SK Engkudu, Saratok.
Mangsa yang berbangsa Iban dari Rumah Bundak, Sungai Anak, Sebetan itu kali terakhir dilihat berpakaian seragam sekolah dan berselipar berwarna jingga.
Sehingga berita ini ditulis, aktiviti SAR masih dijalankan.