KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil sikap lebih empati terhadap mana-mana permohonan guru yang memilih untuk bersara lebih awal daripada perkhidmatan itu.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pelbagai langkah bersesuaian dilaksanakan kementerian untuk menangani isu itu, tetapi pihaknya tetap melihat alasan yang dinyatakan sekiranya ada guru yang mahu meneruskan tindakan berkenaan.
"Dalam konteks kita sebagai KPM, kita sudah melaksanakan pelbagai tindakan, khususnya usaha dalam mengurangkan bebanan guru. Kita beri perhatian utama dan menyokong jika berlaku tekanan dalam kalangan guru.
"Kita beri sokongan sekiranya guru itu dikaitkan dengan tekanan mental atau apa sahaja tekanan yang dimaksudkan, malah kita juga beri latihan profesional untuk meningkatkan motivasi dan hala tuju mereka untuk lebih bersemangat dalam melaksanakan perkhidmatan.
"Selain itu, KPM turut mengambil sikap lebih empati jika ada guru yang mahu bersara awal, khususnya mereka yang sakit atau sudah mempunyai kewangan kukuh atau mahu menikmati kehidupan lebih baik bersama keluarga," katanya selepas merasmikan Karnival Keusahawanan Permata Remaja di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Pantai Ria, di sini, hari ini.
Bulan lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, dilaporkan berkata, sebanyak 6,394 pegawai perkhidmatan pendidikan atau 1.49 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru diluluskan untuk bersara pilihan sepanjang tahun lalu.
Katanya, berdasar rekod jumlah itu menunjukkan peningkatan sedikit, berbanding tahun sebelumnya iaitu 5,306 atau 1.23 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru.
Susulan itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru-Guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Mohd Azizee Hasan, berkata tidak dapat mengadaptasi keperluan pendidikan semasa termasuk sistem pendigitalan pendidikan adalah antara sebab guru bersara awal.
Katanya, kesukaran mengadaptasi era digital menyebabkan ia menjadi tekanan dan beban kerja yang membawa kepada isu kesihatan mental, menyebabkan guru memilih bersara awal.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, tahap kesihatan dan kewangan kukuh menjadi antara faktor yang menarik ramai guru di negara ini untuk memilih bersara lebih awal daripada perkhidmatan itu.
Katanya, KPM juga sudah menyediakan pelbagai langkah untuk mengatasi isu terbabit, khususnya tindakan untuk menyokong dan mengurangkan bebanan oleh guru sekolah.
Sementara itu, Fadhlina berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan dihadapi murid Tahun Tiga, Attar Azim Syukran Jamil, 9, yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata susulan kemalangan yang mengorbankan ibu bapa dan dua adiknya.
"Kita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga adik Attar dan bersedia untuk membantu perkembangan mangsa, termasuk melalui bantuan yang ada. Insya-Allah saya juga yakin adik Attar berada dalam keadaan yang baik di samping keluarganya," katanya.