SEREMBAN: Transformasi pendidikan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) terus terserlah apabila mendapati bilangan kemasukan murid ke sekolah terus meningkat tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kemasukan murid bagi sekolah kebangsaan (SK) telah mencapai tahap 99 peratus manakala bagi sekolah menengah sekitar 95 peratus setakat ini.
Katanya, pihaknya akan terus bekerja keras bagi memastikan pencapaian kemasukan pelajar di sekolah menengah terus meningkat pada masa hadapan.
“Dari segi kemasukan ke sekolah rendah (SK) kita telah capai iaitu pencapaian sejagat dengan 98 dan 99 peratus. Dari segi sekolah menengah lebih kurang 95 peratus dan kita kena kerja keras lagi.
“Justeru, usaha menyiap dan melengkapkan prasarana sekolah menjadi keutamaan kementerian kerana saya mendapat banyak permintaan daripada sekolah-sekolah baharu.
“Komitmen kerajaan dalam perkara ini cukup luar biasa, apabila 26 sekolah baharu yang kita minta, 26 kita dapat, ini kejayaan luar biasa Kerajaan Madani kerana sebelum ini minta 20 mungkin dapat 10 saja,” katanya ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sagga Siliau, Rantau, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Zainal Abas; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin dan Guru Besar sekolah itu, K Nalini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, fokus seterusnya selepas ini ialah membuat perluasan di peringkat prasekolah membabitkan semua sekolah kerajaan.
“Ini antara komitmen besar kerajaan untuk memastikan akses pendidikan anak-anak ini terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian akan memastikan semua isu berkaitan pendidikan akan ditangani dengan sebaiknya untuk kepentingan anak-anak dan generasi muda.
"Sebagai contoh, sekolah ini yang sedia ada tapi isu dari segi operasi ia telah tertangguh lama dan kita telah berjaya atasi halangan-halangan itu dalam tempoh singkat,” katanya.