Segera kekang guru tularkan isu sekolah - NUTP

Aminuddin Awang - Presiden NUTP


SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu segera menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang perbuatan guru yang memuat naik bahan berkaitan isu dalaman sekolah di media sosial. 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, jika tiada sebarang tindakan secara menyeluruh ia akan memberi impak negatif terhadap institusi pendidikan negara. 

Menurutnya, media sosial perlu menjadi platform pendidikan yang lebih komprehensif dan bukan menjadi tempat meluahkan rasa tidak puas hati sehingga membelakangi profesion sebagai guru. 

"KPM perlu segera menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang masalah ini daripada terus berlaku dan kita khuatir jika terus dibiarkan terlalu lama akan beri impak negatif kualiti guru. 

"Platform media sosial memang bagus untuk mendidik dan kalau kandungan yang dipaparkan itu positif kita sokong, tetapi jika ia bersifat mengkritik dan membelakangi pihak sekolah itu tidak boleh disokong sama sekali,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat. 

Sebelum ini, Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, kesemua guru di negeri itu diingatkan supaya tidak sesuka hati memuat naik perkara yang tidak elok atau masalah yang berlaku di peringkat sekolah di media sosial. 

Menurutnya, kandungan berkaitan masalah yang berlaku di peringkat sekolah sudah banyak yang tular di media sosial dan ia memerlukan pemantauan di peringkat guru besar, pengetua dan juga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). 

Sementara itu, Aminuddin berkata, walaupun media sosial turut memainkan peranan dalam pembangunan pendidikan negara, namun ia tidak boleh disalah guna demi kepentingan tertentu. 

Katanya, medium pendidikan semakin meluas boleh memberi manfaat kepada ramai pelajar dan guru tidak perlu mencipta kandungan yang mampu mencetuskan perbalahan sehingga mengganggu proses pembelajaran. 

"Pada pendapat saya, guru perlu lebih fokus terhadap tugas hakiki mendidik dan menjalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan,” ujar beliau.
Previous Post Next Post