'Hentikan segera polemik isu sekolah vernakular, jejas semangat perpaduan'

Datuk Aaron Ago Dagang


KUALA LUMPUR: Rakyat di negara ini perlu menghentikan serta-merta polemik berkaitan kewujudan sekolah vernakular kerana ia boleh menggugat semangat perpaduan yang dibina dalam kalangan masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata Mahkamah Rayuan pada tahun lalu memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil di sekolah adalah berperlembagaan.

Susulan itu, katanya, sebarang usaha memansuhkan kewujudannya adalah tidak wajar, malah ia bertentangan dengan keputusan mahkamah yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.

"Saya juga menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyatakan Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mempertahankan sistem pendidikan vernakular kerana ia selaras Seksyen 28 (penubuhan Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan), Akta Pendidikan 1996.

"Selain itu, saya tegaskan sekali lagi sekolah vernakular bukan satu faktor yang menjurus ke arah perpecahan, sebaliknya ia menjadi tarikan ke arah perpaduan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Fadhlina mempertahankan sistem pendidikan vernakular kerana ia diiktiraf Akta Pendidikan dan KPM akan berpegang dengan pendirian itu berdasarkan peruntukan dalam akta terbabit.

Fadhlina berkata demikian bagi menjawab persoalan mengenai kenyataan Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong bahawa sekolah vernakular hanya aliran sampingan di negara ini dan tidak boleh mengatasi bilangan sekolah kebangsaan.

Tokoh akademik itu berkata, sekolah kebangsaan menjadi aliran utama dan 'maruah' bagi sistem pendidikan Malaysia, manakala sekolah vernakular boleh dikatakan menghalang perpaduan negara dan perpaduan kaum.

Aaron berkata, data enrolmen pelajar bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan pelajar bukan India di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) turut menunjukkan peningkatan berterusan sejak 2018 hingga 2023.

"Ini menunjukkan perpaduan rakyat mampu dibina di mana saja jika ada kesungguhan oleh semua pihak.

"Kementerian sudah melaksanakan Wacana Defisit Sosial dengan menampilkan pakar bidang pada tahun lalu. Hasil dapatan berkenaan menunjukkan kewujudan sekolah vernakular tidak boleh lagi dianggap sebagai pembuka ruang pemisah antara etnik.

"Sebaliknya, ia turut menjadi medan mengurus kerukunan sosial sama seperti peranan sekolah kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Aaron berkata, kementeriannya juga sudah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Negara bertujuan mengembalikan penghayatan asas dan prinsip Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, jawatankuasa itu turut mendapat kerjasama kementerian lain termasuk KPM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi.

"Sehingga kini, kita dengan kerjasama KPM dan KPT sudah menubuhkan 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) dan 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) di seluruh negara bagi meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda yang mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan negara.

"Tahun ini, kementerian menerusi agensi akan melipatgandakan usaha meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat supaya menjadi amalan hidup seharian," katanya.

Previous Post Next Post