Guru usah kongsi sesuka hati masalah peringkat sekolah di media sosial - Exco



JOHOR BAHRU - Kesemua guru di Johor diingatkan supaya tidak sesuka hati memuat naik perkara yang tidak elok atau masalah yang berlaku di peringkat sekolah di media sosial. 

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, sudah banyak yang tular di media sosial berhubung masalah yang berlaku di peringkat sekolah dan ia memerlukan pemantauan di peringkat guru besar, pengetua dan juga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). 

Katanya, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim amat menitikberatkan soal pendidikan generasi muda negeri ini. 

"Itu antara perkara yang ditekankan supaya tidak berlaku tular masalah-masalah yang berlaku di sekolah dimuat naik secara bebas. 

"Sekarang ini influencer (pempengaruh) dah ada. Guru pun dah ada yang kita gunakan sebagai influencer bagi menjamin maklumat yang tepat. 

"Lagipun, sekolah tempat mendidik anak-anak, jadi biarlah isu yang keluar, sesuai. Program cintan-cintun, jemput influencer yang tak sesuai, perkara tak elok janganlah sampai ditularkan," katanya. 

Aznan berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Muafakat Kasih Warga Pendidikan Johor Bersama Exco Pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri Johor pada Khamis. 

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Johor, Mohd Hanafi Samad. 

Sementara itu Aznan berkata, perkara yang tular berkaitan sekolah akan dipantau terus oleh Pemangku Sultan Johor. 

Oleh itu katanya, kesemua guru, kakitangan sekolah diminta tidak sesuka hati memuat naik kandungan media sosial selepas ini. 

"Perkara-perkara sensitif harus diambil kira, kita tak mahu isu-isu seperti itu diketahui umum. 

"Kita juga tidak teragak-agak ambil tindakan kerana baginda amat pentingkan pendidikan dan sekolah di negeri ini," katanya.
Previous Post Next Post