![]() |
Imej kredit SK Pintas Puding |
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diberi kuasa dalam membuat keputusan yang sesuai bagi melindungi pelajar dan guru daripada sebarang risiko akibat cuaca panas melampau.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan pekeliling kepada JPN di seluruh negara dalam berdepan fenomena cuaca panas.
Menurutnya, JPN di setiap negeri diarah memantau perkembangan suhu panas semasa dan perlu selari dengan nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
"Pekeliling itu sudah ada dan diedarkan sejak dulu lagi, bukan sahaja dari segi haba atau cuaca panas, juga terhadap jerebu atau bencana-bencana yang lain.
"Oleh itu, semua JPN boleh membuat apa-apa keputusan berdasarkan garis panduan yang terdapat dalam pekeliling sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serada sempena hari pertama sesi baharu persekolahan 2024/2025 di sini, semalam.