Asing kelas demi masa depan pelajar supaya kuasai 3M

Imej hiasan via Bing Image Generator


MURID Tahun Satu yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) selepas mengikuti persekolahan selama tiga bulan pada tahun ini akan diasingkan dari kelas semasa dan diletakkan di bawah Program Intervensi Literasi dan Numerasi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, murid terbabit akan berada dalam program itu selama tiga bulan bermula Julai ini dan akan dikembalikan semula ke kelas asal jika telah mencapai tahap penguasaan.

Langkah terbaharu KPM itu dipercayai susulan pendedahan oleh KPM sendiri tahun lalu bahawa terdapat 269,332 murid sekolah rendah di seluruh negara dikesan belum menguasai kemahiran 3M.

Situasi itu seharusnya memberi tamparan kepada masyarakat memandangkan tiga perkara berkenaan adalah kemahiran asas kepada perkembangan pembelajaran murid.

Jika tidak diatasi, mereka dikhuatiri tidak mampu mengikuti mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains dan Matematik sehingga hilang minat untuk bersekolah lalu tercicir.

Justeru, kelas khas yang berfokus kepada 3M seperti kelas pemulihan yang wujud suatu ketika dahulu adalah diperlukan.

Walaupun langkah ini seperti kembali ke belakang, namun tidak ada salahnya demi kemajuan anak-anak dalam pendidikan.

Pengasingan kelas mula dimansuhkan pada tahun 2019.

Ketika itu, pakar berhujah sistem itu tidak bagus kerana boleh memberi kesan negatif terhadap murid termasuk dari segi keyakinan, emosi, mental dan sahsiah diri.

Hujah mereka lagi, di peringkat sekolah rendah juga adalah tidak tepat untuk mewujudkan persepsi murid kelas belakang atau murid kelas hujung.

Malah negara seperti Finland antara yang memansuhkan pengasingan kelas, selain sistem itu diboikot oleh negara-negara maju kerana dilihat mendiskriminasikan kanak-kanak.

Bagaimanapun, ketika ratusan ribu murid masih ketinggalan 3M, pengasingan kelas adalah jawapan segera walaupun bukan satu-satunya jalan penyelesaian.

Tindakan lain ialah memastikan murid tidak bersesak-sesak sehingga 50 orang dalam satu kelas seperti yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya.

Selain itu, ibu bapa juga harus memainkan peranan supaya anak mereka dapat menguasai 3M di peringkat prasekolah lagi atau lebih awal daripada itu.

Lidah Pengarang Sinar

Previous Post Next Post