Sabri Yunus selamat nikahi Angeline Tan


PETALING JAYA – Dengan sekali lafaz, pelakon dan pengarah Sabri Yunus sah bergelar suami kepada aktres Angeline Tan, pagi tadi.

Pasangan merpati dua sejoli itu dinikahkan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Majlis yang berlangsung sederhana itu menyaksikan Sabri atau nama sebenarnya Mohd Sabri Yunus, 63, menyerahkan mas kahwin berbentuk seutas rantai emas.

Bintang Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu kelihatan segak mengenakan baju Melayu putih di samping suri hatinya yang anggun menggayakan baju kurung moden warna senada.

Difahamkan majlis akad nikah itu hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua pengantin.

Akui Sabri, mereka sudah tiga tahun merancang untuk mendirikan rumah tangga namun menunggu kesediaan Angeline untuk memeluk Islam.

“Alhamdulillah, benar kami baru sahaja bernikah sebentar tadi. Tak tahu macam mana nak cerita, tetapi kami berdua bersyukur majlis pernikahan ini dipermudahkan.

“Kami sudah kenal lama, sejak 1992 lagi. Tetapi kami mula betul-betul rapat tiga tahun lalu. Malah, dua-dua pun pernah merasakan kehilangan. Susah senang, sihat sakit saling menemani.

“Tetapi saya tunggu dia untuk sedia peluk Islam. Alhamdulillah, awal Oktober hari itu dia memeluk Islam dan kami terus merancang untuk menikah hari ini,” tuturnya teruja.

Susulan itu, rata-rata netizen terkejut dengan berita gembira tersebut selain mengucapkan tahniah kepada kedua pasangan pengantin.

 

Previous Post Next Post