Azam (tengah) bergambar bersama pegawai serta petugas media semasa Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di Kajang pada Sabtu. |
KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengumpulkan banyak bukti baharu mengenai siasatan kes rasuah bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berhubung projek membabitkan percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes ini masih dalam siasatan pihaknya.
"Berhubung pemanggilan beliau (Radzi), saya serah kepada pegawai penyiasat (SPRM).
"Banyak bukti baharu yang telah dikumpulkan. Kita masih teruskan siasatan dan bagi masa kita siasat," katanya kepada pemberita selepas Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di sini pada Sabtu.
24 September lalu, SPRM mengesahkan akan memanggil Mohd Radzi untuk siasatan lanjut.
Sebelum itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya turut mengesahkan penahanan reman dua individu termasuk bekas setiausaha politik hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
Dalam kes berlainan, mengenai siasatan kes rasuah pengambilan pekerja asing yang melibatkan pegawai kanan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, Azam berkata, pihaknya masih menunggu keputusan lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
"Kes itu telah dikemukakan kepada TPR dan kita masih lagi menunggu keputusan dari mereka.
"Kita telah siapkan siasatan dalam tempoh dua bulan lepas dan kita masih tunggu dari TPR," ujarnya.
Pada Mei lalu, media melaporkan Sivakumar mengesahkan bahawa lima pegawainya yang disiasat SPRM sudah ditamatkan kontrak.
Sivakumar dilaporkan berkata, pemecatan lima pegawainya itu dilakukan bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar.