LENGGONG: Kehilangan seorang graduan Universiti Sultan Idris Shah (UPSI) sejak semalam, terjawab dengan penemuan mayat di kawasan persisiran Sungai Perak di sini, hari ini.
Menurut Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong, Farizul Anuar Razali, mayat lelaki berumur 27 tahun itu yang dikatakan baru menamatkan pengajian di universiti awam terbabit, dijumpai orang awam sebaik operasi pencarian dimulakan oleh pihak bomba sekitar jam 9 pagi tadi.
Katanya, operasi mencari mangsa, Saiful Azhar Mohd Azhari dibuat hari ini susulan maklumat dari polis yang mengatakan terdapat seorang lelaki yang disyaki hilang sejak semalam.
“Semasa pihak bomba baru memulakan pencarian, maklumat diterima bahawa mangsa sudah dijumpai oleh orang awam di tepi sungai. Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Motosikal yang dikatakan dinaiki oleh mangsa, sebelum itu turut ditemui berada ditinggalkan dekat jambatan di kampung terbabit yang melintasi Sungai Perak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, bomba menerima panggilan jam 8.35 pagi tadi dan tiba di lokasi 15 minit kemudian, dengan anggota BBP Lenggong digerakkan ke lokasi.