Dua murid ditahan ugut sebar video mandi rakan perempuan

 

KUANTAN: Dua murid lelaki berusia 16 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan memiliki dan mengedar video seorang kenalan perempuan mereka yang sedang mandi. 

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komsioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua suspek ditahan semalam, selepas hadir memberi keterangan ekoran laporan polis dibuat remaja perempuan berusia 13 tahun itu, pada Jumaat lalu. 

“Pengadu mendakwa salah seorang suspek telah memberitahu mempunyai video dirinya sedang mandi dan meminta bayaran RM50 jika mahu video tersebut. 

“Pengadu mendakwa video itu disebarkan oleh seorang lagi suspek, kerana ia dibuat semasa mereka berhubung menerusi panggilan video pada Mei lepas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, kerana memiliki video lucah yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA
Previous Post Next Post