Radzi nafi dakwaan lulus projek J-Qaf RM80 juta

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin menafikan dakwaan beliau meluluskan secara runding terus projek percetakan buku J-Qaf bernilai RM80 juta ketika menjadi menteri kanan pendidikan. 


Radzi menegaskan tuduhan yang tular mengaitkan beliau serta isterinya itu tidak benar sama sekali dan mendakwa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat atas arahan pihak atasan susulan kenyataannya di Parlimen, Selasa lalu.

“Isteri saya juga bukan seorang kerabat diraja dan beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan mahupun kepentingan di dalam syarikat yang dinyatakan di dalam mesej tular tersebut.

“Jelas sekali SPRM sedang bertindak atas arahan pihak atasan kerana pernyataan-pernyataan saya di Parlimen, Selasa lalu,” katanya dalam kenyataan sambil menyifatkan dakwaan itu bertujuan menjejaskan imejnya dan menindas bekas pegawainya.

Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan dua individu termasuk bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kanan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek bernilai RM80 juta membabitkan sebuah kementerian.

Sumber SPRM memaklumkan suspek pertama berusia dalam lingkungan 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan manakala suspek kedua ialah pemilik syarikat berusia lewat 50-an.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Previous Post Next Post