Dua warga Rohingya bergilir rogol pelajar sekolah dalam kereta

MELAKA – Dua warga Rohingya diberkas polis selepas disyaki merogol seorang pelajar tingkatan tiga secara bergilir-gilir di dalam sebuah kereta sebelum meninggalkan mangsa di taman permainan di Batu Berendam, di sini. 


Kedua-dua suspek berusia 14 dan 27 tahun itu masing-masing diberkas di Batu Berendam dan Pantai Peringgit dekat sini antara pukul 6 sehingga 6.30 pagi pada 15 September lalu. 

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, tangkapan dibuat selepas abang mangsa tampil membuat laporan polis dan siasatan awal mendapati mangsa baru sehari mengenali suspek yang berusia 14 tahun menerusi aplikasi WhatsApp. 

Katanya, mangsa telah berjumpa suspek pertama kira-kira pukul 4 petang dan keluar bersiar-siar bersamanya dengan menunggang sebuah motosikal di sekitar Pantai Klebang sebelum ke sebuah restoran untuk berjumpa suspek kedua. 

“Suspek kedua berusia 27 tahun dan bekerja sebagai peniaga ini memandu kereta jenis Proton Preve milik warga tempatan. 

“Mangsa serta remaja Rohingya itu kemudian telah menaiki kenderaan tersebut kononnya untuk bersiar-siar sebelum gadis berkenaan dirogol secara bergilir-gilir di dalam kereta oleh suspek di kawasan Klebang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini. 

Tambahnya, mangsa kemudian telah ditinggalkan oleh suspek di taman permainan di Batu Berendam antara pukul 2 hingga 3 pagi. 

Mengulas lanjut beliau memberitahu, mangsa berjaya ditemukan oleh abangnya berusia 22 tahun yang keluar mencarinya bersama rakan-rakan selepas bimbang gadis itu tidak pulang ke rumah. 

“Abang mangsa kemudian terus membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga dan kita berjaya menangkap suspek dalam tempoh kurang dua jam. 

“Pemeriksaan pakar perubatan Hospital Melaka mendapati terdapat kesan koyakan baharu pada kemaluan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya. 

Zainol berkata, suspek yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kini direman selama tujuh hari sehingga 21 September ini. – KOSMO! ONLINE
Previous Post Next Post