Lokasi kejadian kanak-kanak dicekik abangnya hingga maut di Kampung Bukit Piatu pada Rabu. |
MELAKA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik oleh abang sulungnya berusia 14 tahun dalam kejadian jam 12 tengah hari di Kampung Bukit Piatu di sini pada Rabu.
Jiran mangsa yang juga saksi kejadian, Qhurun Ain Johani, 31, berkata, dia mengetahui insiden itu apabila dihubungi ibu mangsa yang memaklumkan anak sulung dari empat beradik itu sedang mencekik adiknya.
Menurut suri rumah itu, ibu mangsa menyedari insiden terbabit selepas melihatnya di telefon bimbit melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam rumah sewa mereka.
Katanya, mangsa tidak hadir ke sekolah pada hari ini kerana mengalami sakit mata dan tinggal bersama abangnya yang dipercayai mengalami masalah kesihatan sejak beberapa minggu lalu.
"Saya bergegas ke rumah mereka dan terkejut melihat mangsa terbaring di atas lantai dalam keadaan kebiruan.
"Abangnya pula seperti tidak sedar apa yang sedang dilakukan dan masih mencekik adiknya hingga beberapa jiran lain datang membantu," katanya ketika ditemui di lokasi pada Rabu.
Tambahnya, remaja lelaki itu seorang yang baik dan sering bermain dengan anak-anak jiran namun dia terkejut apabila keadaan berubah selepas pulang dari sekolah tahfiz tempatnya belajar.
Katanya, remaja itu didakwa pernah mengalami trauma seperti dirasuk baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, kes melibatkan dua beradik lelaki berusia 9 dan 14 tahun sedang dalam siasatan.
"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menjaga sensitiviti keluarga," katanya.