Ibu bapa gesa YDP PIBG sekolah letak jawatan

Nurul Hasnal (dua dari kanan), Arida (tiga dari kanan) dan Mohd Khairil (dua dari kiri) bersama ibu bapa lain menunjukkan laporan perbelanjaan yang didakwa gagal diperjelaskan secara terperinci oleh YDP dan guru besar di sebuah sekolah rendah di Paloh Hinai ketika ditemui pemberita di Balai Polis Paloh Hinai.

PEKAN - Sekumpulan ibu bapa di sebuah sekolah rendah di sini menggesa agar Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit segera meletakkan jawatan. 


Gesaan itu dibuat selepas mereka dikatakan tidak berpuas hati dengan perbelanjaan wang terkumpul sumbangan PIBG hampir RM30,000 yang disyaki disalahguna YDP sekolah berkenaan.

Mereka mendakwa terdapat kekeliruan dalam penyata perbelanjaan kewangan yang dikemukakan dalam mesyuarat PIBG pada 15 Jun lalu, namun YDP gagal memberikan penjelasan.

Wakil ibu bapa yang ditemui, Arida Nasir, 43, berkata, pihaknya bukan mahu mengadakan protes atau pun menunjukkan sebarang provokasi sebaliknya, meminta pihak sekolah dan PIBG mengemukakan bukti penggunaan wang yang disumbangkan hampir 300 ahli PIBG di sekolah terbabit.

Dia mendakwa wang sumbangan itu digunakan untuk keceriaan sekolah seperti membeli mesin pencetak, beli pintu untuk kantin dan membaiki pulih sekolah, bagaimanapun ahli PIBG tidak diberikan peluang mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut.

"Bila kami tanya soalan tentang perihal penyata itu, tiada jawapan yang tepat dan untuk apa duit digunakan, (sedangkan) setiap kali pengeluaran kita perlukan invois, kertas kerja, resit pembelian tetapi ini tidak ada.

"Sebagai YDP, kalau hendak gunakan dana untuk keceriaan sekolah dia (YDP) kena cari inisiatif lain, maksudnya kena cari tabung luar, mohon dengan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) ke atau minta dengan YB (wakil rakyat) setempat, boleh juga kan?.

"Ini duit PIBG, duit anak kami... kami menabung bukan untuk guna sesuka hati macam itu. Kami bersuara hari ini kerana mahu dapatkan mendapat penjelasan, itu sahaja," katanya ketika ditemui di Balai Polis Paloh Hinai, Pekan pada Selasa.

Sebelum itu, sekumpulan ibu bapa terbabit mengadakan perbincangan dengan pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan mereka.

Arida menambah, semua ibu bapa di sekolah berkenaan menuntut satu pelantikan YDP yang baharu bagi mewakili suara mereka.

Dia mendakwa, pelantikan YDP tersebut sejak setahun lalu dikatakan tidak sah kerana tidak mempunyai anak yang bersekolah di sekolah itu sebagai syarat boleh dilantik YDP PIBG.

Seorang lagi wakil ibu bapa, Mohd Khairil Hisyam Zainal Abidin, turut menyuarakan rasa terkilan dengan guru besar sekolah anaknya itu kerana dikatakan tidak profesional dalam menangani isu ini.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kilang sawit berkata, sebagai ibu bapa berhak untuk mengetahui perbelanjaan yang digunakan pihak sekolah.

"Kita mahu tahu resit, kertas kerja dengan invois dan perbelanjaan itu semua, bukan benda lain pun. Kenapa dia (YDP dan guru besar) tinggalkan tempat mesyuarat dan menolak untuk menjawab pertanyaan kami.

"Kenapa dia tidak boleh buktikan dan kita sebagai ibu bapa kecewalah dan terkilan," ujarnya yang memaklumkan pihak PPD Pekan telah mengambil tindakan lanjut terhadap guru besar terbabit.

Sementara itu, suri rumah, Nurul Hasnal Othman, 33, juga menuntut perkara yang sama daripada YDP.

"Kita minta jelaskan ke mana duit itu. Kita nampak ada penyata dibuat (contohnya) baiki pulih, tapi kita mahukan, hendak bukti.

"Kalau boleh ada gambar sebelum dan selepas (urusan baiki pulih) ketika dalam mesyuarat PIBG. Kita juga hendak teliti kertas kerja secara jelas. Tapi (dalam penyata perbelanjaan ini) nampak ragu-ragu, selain itu tiada jawapan yang jelas (diberikan)," ujarnya.

Sebelum ini, tular satu rakaman video di halaman Warga Kuantan Official berhubung tindakan sekumpulan ibu bapa yang menggantung sepanduk di sebuah sekolah rendah di Pekan bagi menggesa guru besar sekolah terbabit ditukarkan segera.
Previous Post Next Post