Mengapa KPM belum keluarkan pekeliling kebebasan bersuara guru di media sosial, tanya pensyarah



PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan diminta segera mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan garis panduan untuk membenarkan guru bersuara dengan bebas melalui media sosial.

Utusan Malaysia melaporkan, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr, Anuar Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memudahkan guru menggunakan ruang yang ada untuk menyuarakan keluhan mereka.

Katanya, sekiranya mahu menunggu satu pertemuan tertutup, ia mungkin satu proses yang lambat sedangkan media sosial itu dapat memberi manfaat kepada sistem pendidikan enegara jika ia digunakan secara baik dan konstruktif.

"Guru-guru adalah pelaksana dan mereka tahu apa yang berlaku di lapangan atau di dalam bilik darjah, jadi dengan bersuara dan memberikan pandangan itu, maka secara langsung pemimpin pendidikan meliputi menteri, timbalan menteri dan pegawai tertinggi di kementerian tahu apa yang sedang berlaku.

"Sekarang ini guru-guru menunggu dan tertanya-tanya bila surat itu mahu keluar sebab mereka pun risau dan tidak tahu apa tindakan sepatutnya dibuat.

"Mislanya ada guru bersuara di media sosial, adakah pentadbir perlu ambil tindakan atau tidak? Maka perlu ada SPI dan garis panduan yang jelas sebagaimana yang diarahkan oleh menteri yang mahu meraikan pandangan guru yang konstruktif dalam memastikan sistem pendidikan negara kita menjadi lebih baik," katanya ketika di- hubungi, semalam.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta budaya memberi amaran kepada guru yang mengkritik Kementerian Pendidikan secara terbuka di media sosial dihentikan.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, satu garis panduan itu turut sama perlu disertakan supaya masyarakat pendidik dapat tahu sejauh mana mereka dibenarkan dan bertingkah laku di media sosial.

"Sebab kita pun tidak mahu ada guru-guru keluarkan perkataan yang tidak baik, mengaibkan mana-mana pihak, tohmahan, celahan dan fitnah, jadi perlu ada satu garis panduan yang jelas.

"Menteri sudah beri satu arahan bahawa beliau membenarkan guru bersuara secara baik dan konstruktif, namun mesti ada garis panduan yang perlu diikuti Oleh guru, pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan," jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, kementerian perlu melihat semula kebebasan itu sebelum mengeluarkan SPI berkenaan.

Katanya, ini kerana beberapa saluran aduan sudah disedia- kan termasuk melalui kesatuan untuk berunding dengan pihak kerajaan.

"Sebab kena faham yang ketenteraman awam itu penting. Mungkin sedikit saja isunya, tetapi menjadi masalah apabila tular.

"Tetapi pada masa sama, kita faham yang aduan melalui media sosial ini lebih pantas diberi perhatian akibat tekanan awam, ahli politik dan tanpa karenah birokrasi," katanya.

Justeru, beliau menambah, sekiranya kementerian mahu melaksanakan kebenaran bersuara itu, maka surat pekeliling itu perlu dikeluarkan segera kerana unit integriti akan bertindak mengikut pekeliling lama.
Previous Post Next Post