Tumbuk, samun guru wanita, 3 lelaki ditahan

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai


KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki Ahad lepas disyaki menyamun dan mencederakan seorang guru wanita di sebuah rumah di Taman Pelangi, Sentul, di sini, 25 Feb lepas.


Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 45 tahun telah ditumbuk di muka, dipukul di bahagian leher dan diikat dengan wayar oleh kesemua suspek yang menyamun rumahnya.


Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata suspek turut melarikan wang tunai RM6,000, satu telefon bimbit, seutas jam tangan dan kad bank milik mangsa.


"Susulan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun di Damansara dan Petaling Jaya, di sini, Ahad lepas.


"Siasatan mendapati modus operandi mereka adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan rumah yang berpenghuni," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Beh, kesemua lelaki itu memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan mereka sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan sengaja menyebabkan cedera.


Beliau berkata susulan penahanan mereka, polis berjaya menyelesaikan empat kes di ibu negara dan satu kes di Selangor. - BERNAMA

Previous Post Next Post