Tiada keperluan opsyen antara punca 'guru dukalara' gagal bertukar

Imej hiasan


Baru-baru ini seorang pesara guru mencuri perhatian warganet apabila berkongsi kisah hidup anaknya yang digelar 'guru duka lara'. Dalam perkongsian di laman Facebook itu, anak lelakinya yang berhadapan masalah tulang belakang akibat kemalangan raya sejak kecil ditugaskan sebagai guru di pedalaman Sabah.


Pada ketika ini katanya, kesan kemalangan itu mula kelihatan namun anaknya itu duduk bersendirian di rantau orang, manakala isterinya juga seorang guru bertugas di Semenanjung. Bagaimanapun permohonan pertukaran ditolak beberapa kali walaupun anaknya berhadapan masalah kesihatan.


Sebenarnya kisah guru duka lara yang terpaksa hidup berjauhan dengan pasangan selama lapan tahun dan ke atas bukanlah isu baharu sebaliknya sudah pun menjadi perkara lapuk. Namun malangnya sehingga kini belum ada kaedah yang benar-benar membantu.


Sekitar Mei tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah memulakan langkah membenarkan guru membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun dengan empat kali pertukaran iaitu pada Mac, Jun, September dan Disember berbanding dua kali sebelum ini.


Garis panduan baharu itu dikeluarkan bagi mengganti peraturan lama yang dibuat pada 1975. Bagaimanapun, pertukaran itu masih tertakluk kepada kekosongan jawatan serta keperluan opsyen di sesebuah lokasi dan ia kekal menjadi prinsip asas KPM.


Hal ini menyebabkan masih ramai penjawat awam itu mungkin akan kekal dirujuk sebagai 'guru duka lara' untuk jangka masa yang tidak dapat dipastikan. 


Bagi guru Matematik dan Pendidikan Jasmani, Farhmi Mat, 36 hidup berjauhan dengan keluarga selama sembilan tahun menyebabkan dia kurang bersemangat untuk mengajar.


Farhmi yang berasal dari Pantai Timur dan kini bertugas di pedalaman Sarawak berkata, dia sudah beberapa kali memohon pertukaran tetapi malangnya tidak berjaya.  


"Saya cuba berfikiran positif tetapi banyak hal yang berlaku menyebabkan saya lesu.


"Saya menyalahkan diri sendiri kerana gagal bersama isteri saat dia melahirkan kedua-dua anak kami. Hingga kini, saya hanya mampu melihat anak-anak yang kini berusia lima dan dua tahun membesar melalui panggilan video sahaja," katanya.


Didiagnos kemurungan 


Farhmi berkata, dia maklum dengan keadaan kerjaya sebagai guru yang menuntut pengorbanan mendidik anak bangsa, namun dalam masa sama sembilan tahun duduk berjauhan memang meguji diri.


Katanya, beliau bukan saja terseksa dari segi mental dan fizikal tetapi juga kewangan. Malah, beliau mengakui hampir patah harapan hidup berkeluarga apabila pasangan menuntut cerai.


"Saya tidak menyalahkan isteri. Walaupun isteri juga guru tetapi tentu saja dia tertekan kerana hidup berjauhan bukan mudah. Apatah lagi seorang anak kami ada masalah autisme dan dia menanganinya sendirian, jadi kami kerap bertengkar. Malah isteri juga berhadapan dengan tekanan emosi yang hebat," katanya.


Kata Farhmi, isterinya pernah menyuarakan hasrat berhenti kerja tetapi ia tidak kesampaian kerana tuntutan kewangan yang tinggi.


Tambahnya, hampir setiap tahun beliau membuat permohonan sebaik saja ia dibuka tetapi semuanya ditolak dengan alasan tiada keperluan opsyen di negeri yang dimohon. Semua faktor itu menyebabkan dia mudah marah, tertekan dan akhirnya didiagnos dengan masalah kemurungan. 


"Walaupun mungkin situasi saya tidak seteruk guru lain seperti diduga dengan kehilangan orang tersayang atau sakit, tetapi saya mohon tidaklah sehingga diuji sebegitu.


"Bukan saya tidak sayangkan anak didik di sini. Mereka adalah penguat semangat saya untuk terus mengajar tetapi dalam masa sama saya tidak mahu berada di satu kawasan yang sama bertahun-tahun," katanya yang mengajar di situ sejak tamat pengajian.


Permohonan gagal 


Sementara itu bagi guru Pendidikan Islam yang mahu dikenali sebagai Farahana Hussein, 30, hidup berjauhan dengan suami seorang penghidap masalah jantung bukanlah satu situasi mudah untuk ditangani.


Katanya, dia hidup berasingan dengan suami sejak awal perkahwinan dan sehingga kini sesudah empat tahun bergelar isteri mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.


Farahana berkata, suaminya bertugas di Johor manakala dia bertugas di Utara Semenanjung. Justeru adalah menjadi rutin bagi mereka berulang alik saban minggu. Namun disebabkan suaminya berhadapan masalah kesihatan, umumnya Farahana yang kerap ke Johor. 


"Walaupun suami saya bukan guru, tapi dia masih berusaha untuk membuat permohonan bertukar ke utara tetapi gagal.


"Saya pun kerap membuat permohonan pertukaran melalui EgTukar sebaik sahaja permohonan dibuka namun ditolak. Alasan yang diberikan tidak memenuhi kriteria keperluan opsyen di negeri yang dimohon," katanya, 


Jelas Farahana, ada kala dia tidak dapat menjenguk suaminya di Johor kerana bebanan tugas, misalnya mesyuarat atau aktiviti sekolah yang diadakan pada hujung minggu. Semua itu dilalui dengan fikiran positif walaupun ada ketikanya dia gagal menyembunyikan rasa sedih dan kecewa. 


Katanya, beliau melalui pelbagai cabaran sepanjang duduk berjauhan dengan suami. Malah pernah berhadapan detik cemas apabila mengalami kecelakaan di lebuh raya selain pernah juga mengalami sindrom tertidur tanpa sedar (microsleep). 


Tegasnya, dia masih melihat dirinya bertuah kerana masih boleh berulang alik di antara utara dan selatan walaupun bukan setiap minggu berbanding rakan guru lain yang ditempatkan di pedalaman.


Namun katanya, tidak kira di mana pun kehidupan berjauhan dengan pasangan memang penuh cabaran apatah lagi jika sudah mempunyai anak.


"Saya bersyukur rakan-rakan sekerja memberi sokongan begitu juga murid-murid. Namun saya masih berharap dapat berpindah mengajar di tempat suami bertugas," katanya.


Sumber: Berita Harian

Previous Post Next Post