Antara pertimbangan yang perlu diambil kira adalah berkaitan Akta Pendidikan 1996 yang memerlukan sesi persekolahan selama 190 hari setahun, selain melibatkan pengorbanan cuti. - Fail |
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) belum bercadang untuk mengembalikan sesi persekolahan bermula Januari seperti sebelum pandemik COVID-19 dalam tempoh terdekat, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.
Dalam sidang media sempena majlis amanat pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 di sini hari ini, beliau berkata antara pertimbangan yang perlu diambil kira adalah berkaitan Akta Pendidikan 1996 yang memerlukan sesi persekolahan selama 190 hari setahun, selain melibatkan pengorbanan cuti.
"Sebenarnya boleh kembali (sesi persekolahan pada Januari) dengan cepat dengan mengorbankan cuti-cuti yang ada. Tapi, kalau sekolah tidak cuti bila waktu rehat bagi guru, pelajar dan ibu bapa?
"Kalau nak kembalikan semula, kena kekalkan 190 hari dan anjak sedikit demi sedikit. Ia bukan satu perkara yang boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat dan akan mengambil beberapa tahun dengan pengorbanan semua pihak," katanya.
Pkharuddin berkata sesi persekolahan sekarang perlu dilihat dari sudut positif seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diadakan pada waktu cuti selama empat minggu pada Februari dan Mac, yang dapat mengelakkan Monsun Timur Laut.
"Kita cuba sebaik mungkin memberi keselesaan terbaik kepada semua pihak. Ada pihak mungkin perlukan perkara yang lebih selesa untuk anak-anak ambil peperiksaan, tapi ada pihak pula yang perlukan masa cuti di hujung tahun sebagai tempoh sesuai untuk mereka melancong," katanya.
- BERNAMA