Persepsi Kerajaan Perpaduan ganggu penjawat awam tidak tepat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali 


KUALA LUMPUR: Persepsi berlaku gangguan terhadap penjawat awam dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tepat. 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan akan sentiasa memberi perhatian kepada keperluan memperkasa perkhidmatan awam.


“Sindiran yang mengatakan kita berseteru dengan penjawat awam itu adalah tidak benar. Cakap-cakap kosong yang mengatakan kononnya kita mengetepikan pandangan penjawat awam juga tidak benar,” katanya semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) di Dewan Rakyat hari ini.


Kata Armizan, proses pertukaran dan pusingan kerja penjawat awam di bawah pentadbiran Anwar dilaksana berpandukan undang-undang berkaitan perkhidmatan awam. 


Katanya, proses tersebut adalah normal yang berlaku dalam mana-mana pentadbiran kerajaan yang mana kerajaan perpaduan ditadbir Anwar menyaksikan pertukaran dan pusingan kerja pangkat Jusa C dan ke atas seramai 62 orang sehingga 28 Februari lalu.


“Sebarang pertukaran itu yang dibuat juga adalah selari dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 dan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969).


“Bagi pertukaran dan pusingan kerja pangkat Jusa C dan ke atas, semasa pentadbiran Perdana Menteri ketujuh (Tun Dr. Mahathir Mohamad), berlaku 128 pertukaran.


“Perdana Menteri kelapan (Tan Sri Muhyiddin Yassin) adalah 104, Perdana Menteri kesembilan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), 92 dan Perdana Menteri sekarang, adalah seramai 62,” katanya.   


Sementara itu beliau berkata, kerajaan tiada perancangan untuk meningkatkan umur persaraan perkhidmatan awam pada masa sekarang.

Previous Post Next Post