PCG: Bukan kerja PIBG sedia dana untuk PdP guru dalam kelas

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan


PETALING JAYA: Persatua Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak sepatutnya menggalas tanggungjawab Kementerian Pendidikan dalam menyediakan dana mencukupi bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah berjalan lancar.


Pada masa ini kira-kira 20 peratus daripada kutipan PIBG akan disalurkan untuk tujuan PdP, selebihnya digunakan untuk tujuan pembangunan fizikal sekolah dan penganjuran majlis serta aktiviti bukan akademik.


Utusan Malaysia melaporkan, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, PIBG tidak sepatutnya dijadikan ruang untuk mencari dana bagi aktiviti pembelajaran. Menurutnya, PIBG hanya membantu dengan wang yang dikumpul secara ikhlas daripada ibu bapa dan kakitangan sekolah, justeru, ia tidak boleh menjadi pemberi ‘utama' memandangkan pendapatan setiap ahlinya juga adalah berbeza-beza.


"Kosep PIBG ini patut difahami oleh semua pihak. Bagi saya ia adalah untuk membantu, bukan betul-betul memperuntukkan dana bagi tujuan pendidikan sekolah kerana itu merupakan tugas hakiki Kementerian Pendidikan dan sekolah," katanya.


Isnin lalu Utusan Malaysia telah mendedahkan peruntukan bantuan Geran Per Kapita (PCG) Mata Pelajaran sekolah didakwa dikurangkan lebih 14 peratus mulai sesi baharu persekolahan 2023/2024 yang akan bermula 20 Mac ini.


Tindakan itu menyebabkan sekolah berdepan kekurangan dana untuk merancang program tambahan akademik dan membeli modul peperiksaan bagi semua tingkatan dan penyelesaiannya, guru-guru terpaksa meminta bantuan PIBG. 


Kementerian Pendidikan sebelum ini mengambil langkah memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat, yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid dan hanya menambahkan beban tugas guru bermula sesi persekolahan 2023/2024. 


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara contohnya pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi Sistem Pengurusan Buku Teks terbaik dan yang seumpamanya. 


Katanya, keputusan itu adalah antara tujuh langkah dalam teras kelima kementerian berkenaan yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk tekaan dihadapi guru, hasil laporan awal diterima.


Langkah itu dilihat mampu menjimatkan perbelanjaan sekolah dan beban mencari dana membiayai program dan aktiviti yang tiada bersangkutan dengan akademik murid yang kebanyakannya disandarkan pada bahu guru dan ibu bapa. 


Sementara itu, Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Nasaruddin Nong berkata, tindakan kerajaan mengurangkan peruntukan PCG diibaratkan seperti 'membaiki tiang rumah, tetapi roboh di bahagian lain' tidak sewajarnya berlaku dalam usaha membangunkan pendidikan madani.


"Bagi kami penduduk di pedalaman Ulu Tembeling, pengurangan PCG sudah tentu menjejaskan pengurusan sekolah dan paling terkesan murid yang mengikuti PdP. 


"Kekalkan seperti mana pelaksanaan oleh kerajaan sebelum ini atau lebih baik tambah mengikut keperluan penting bagi memudahkan serta keselesaan kewangan sekolah untuk pemantapan PdP," katanya.


Nasaruddin berkata, pihaknya tidak mampu membiayai keperluan sekolah yang lebih besar memandangkan rata-rata penduduk adalah B40. 


Dalam pada itu, Pengerusi PIBG SK Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut, Mohd. Riduan Arbain berkata, pengurangan 10 peratus PCG tidak wajar dan sudah tentu menimbulkan kesukaran pengurusan sekolah dan guru menyusun strategi perancangan mulai sesi 2023/2024.


"Kerajaa perlu memikirkan kesukaran sekolah di luar bandar dan Felda kerana sebilangan ibu bapa bergantung kepada sekolah dan guru yang cukup dedikasi memeta kejayaan kurikulum, kokurikulum dan pembinaan insan murid menerusi peruntukan yang disalurkan kerajaan," katanya. 


Sebagai ahli PIBG, menurut Arbain, mereka hanya mampu memberikan sumbangan dan tenaga berkaitan program yang diaturkan oleh sekolah.


Pengerusi PIBG SK Damak, Jerantut, Shaiful Anuar Osman berkata, guru bertanggungjawab mempunyai komitmen tinggi untuk mendidik murid dan akan berasa sukar melaksanakan PdP berikutan kekurangan tertentu.


"Saya lihat ramai guru yang banyak mengorbankan wang poket sendiri untuk membiayai program pendidikan di sekolah. dan rata-ratanya juga perlu membiayai keperluan keluarga dan kehidupan seperti rumah, kenderaan dan sebagainya," katanya.


Sementara itu, Yang Diper- tua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau, Khalid Ahmad berkata, setiap tahun, anggaran perbelanjaan untuk aktiviti dalam atau luar sekolah sekitar RM10,000 dan jumlah tersebut lebih besar jika melibatkan ramai murid. 


"Kalau boleh tidak perlu turun memandangkan dalam keadaan suasana pembelajaran yang semakin mencabar ini pelbagai keperluan perlu dilak- sanakan untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran," katanya.

Previous Post Next Post