MCA gesa gaji timbalan menteri pendidikan ditolak RM10


Pemuda MCA menggesa ahli parlimen memfailkan usul di Dewan Rakyat untuk memotong RM10 daripada gaji Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying kerana didakwa gagal menyediakan jawapan bagi sesi soal jawab lisan hari ini.


Setiausaha Agung Pemuda MCA Daniel Wa Wai Hou berkata pemotongan gaji itu akan menjadi hukuman simbolik kepada ahli parlimen DAP berkenaan, yang dituduhnya sebagai tidak profesional.

Wa mendakwa pada masa lalu, DAP pernah mengusulkan potongan gaji daripada menteri kabinet.

"Dengan cara yang sama, pemotongan gaji RM10 simbolik ini harus dikenakan ke atas Hui Ying," katanya pada satu kenyataan hari ini. 


Wa (gambar, atas) menegaskan menjawab soalan ahli parlimen di Dewan Rakyat menjadi tugas asasi menteri dan timbalan menteri.

Katanya, isu dan soalan berkaitan telah disediakan dan diedarkan kepada kementerian dan jabatan kerajaan yang berkaitan terlebih dahulu untuk mendapatkan jawapan, yang disediakan oleh pegawai daripada kementerian dan jabatan kerajaan berkaitan. 

“Oleh itu, tidak dapat dibayangkan malah bersamaan dengan kecuaian untuk mendakwa jabatan kerajaan tidak menyediakan jawapan.

“Ini juga menunjukkan bahawa timbalan menteri (Lim) tidak biasa dengan operasi dan hal ehwal pelbagai jabatan kerajaan. 

“Rakyat akan merasa tidak munasabah untuk menerima kesilapan ini. Jika menteri dan timbalan menteri tidak mengambil serius tugas asasi mereka, bagaimana rakyat boleh yakin dengan kerajaan ini untuk menguruskan negara kita dengan baik,” soalnya.

Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon juga tidak melepaskan peluang untuk membidas Lim.

Mah menyindir Lim, dan menyamakan prestasi parlimennya dengan "seorang pelajar yang datang ke sekolah untuk peperiksaan lisan dan mengakui mereka tidak membuat kerja rumah".

Mah (gambar, bawah) menambah: “Mungkin Lim berjaga sampai lewat pada malam sebelumnya dan bergegas ke sini (ke parlimen) dari jamuan di Pulau Pinang, jadi harap maafkan dia.” 

Awal hari ini, timbalan speaker Ramli Mohd Nor menegur Lim atas kegagalannya menyediakan jawapan kepada Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan menteri pendidikan mengenai Program Makanan Tambahan di sekolah. 

Marzuk ingin tahu berapa banyak yang diperuntukkan kerajaan untuk program itu, dan mekanisme yang digunakan untuk memantau kualiti makanan yang dihidangkan di bawah program itu.

Bagaimanapun, Lim terdiam untuk beberapa ketika sebelum Ramli bertanya sama ada timbalan menteri berkenaan bersedia dengan jawaban sepatutnya atau tidak.

Kenyataan Lim itu menimbulkan kemarahan ahli parlimen pembangkang, termasuk Ronald Kiandee (PN-Beluran), yang berkata kesilapan seperti itu tidak sepatutnya berlaku di Dewan Rakyat. 

Ramli yang sependapat dengan Ronald kemudian berkata, kejadian seperti itu tidak wajar berlaku.

Pegawai tugas-tugas khas Lim, Lim Swee Kuan, kemudian memohon maaf atas kesilapan itu, yang menurutnya berlaku di luar kebiasaan.

Kedua-dua DAP dan MCA adalah parti komponen dalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

~ Malaysikini
Previous Post Next Post